Rizab Air Punca Gangguan Bekalan, Bukan Sabotaj – KeTTHA

21
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menafikan sekeras-kerasnya punca kepada masalah bekalan air di Selangor disebabkan tindakan sabotaj penutupan paip utama.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, laporan sama pernah disiarkan sekitar 2013 dan 2014 tetapi kini diulang sekali lagi bagi menyalahkan Kerajaan Persekutuan.

Katanya, langkah tersebut adalah percubaan untuk menyembunyikan ketidakcekapan kerajaan Selangor dalam pengurusan air.

“Mengikut kapasiti reka bentuk, rizab margin simpanan air di Selangor pada tahun lalu adalah kosong peratus. Faktor ini dikenalpasti antara penyumbang utama masalah bekalan air di Selangor.

“Jika berlaku kerosakan loji, paip pecah atau kenaikan permintaan mendadak seperti di musim perayaan, kemungkinan kawasan tertentu di Selangor mengalami gangguan bekalan air adalah tinggi,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Sabtu lalu kerajaan Selangor menyelar Zaini yang mendakwa margin simpanan air di Selangor ditahap 0 peratus.

Sebaliknya, menteri besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, semua empangan di negeri itu kini mencatatkan 100 peratus bekalan air mentah.

Manakala, rizab air meningkat dari tiga peratus kepada enam peratus.

“Beliau (Zaini) kata 0 peratus. Buka mata jangan makan dedak banyak sangat.

“Sebagai pengawai kerajaan, buat apa bersikap macam orang politik. Kalau nak tengok, kita boleh bawa. Jangan buat fitnah,” katanya seperti dilapor Selangorkini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, jalan penyelesaian kepada masalah tersebut antaranya adalah menambah bekalan air terawat menerusi pembinaan loji rawatan air baru.

“Selain itu, jalan penyelesaian adalah dengan mengurangkan kadar air hilang. Sebagai contoh, Selangor berada pada tahap 32 peratus berbanding sasaran nasional iaitu 25 peratus.

“Dalam pada itu, perlu juga dikurangkan penggunaan per kapita, sebagai contoh di Selangor penggunaannya adalah 234 liter per kapita sehari berbanding kadar nasional iaitu 209 liter per kapita sehari,” ujarnya.

Tambahnya, jumlah gangguan bekalan air adalah petunjuk utama untuk mengukur tahap kecekapan perkhidmatan bekalan air.

“Sebagai contoh, Selangor mencatatkan jumlah gangguan tertinggi iaitu 259,537 gangguan pada 2016 berbanding Pulau Pinang 3,778 dan Melaka 2,267,” katanya.