Ringgit Tinggi Didorong Kenaikan Harga Minyak

167
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan peningkatan harga minyak menyemarakkan minat terhadap mata wang tempatan.

Pada jam 9.06 pagi, ringgit naik kepada 3.8775/8825 berbanding dolar AS daripada 3.9170/9220 pada penutupan semalam.

Seorang wakil peniaga berkata, harga minyak mencatat rali semalaman berikutan penyusutan tidak dijangka stok penimbal AS, sekali gus mendorong kontrak penanda aras global, Brent naik 5.2 peratus kepada AS$39.84 setong.

“Harga minyak yang tinggi bermakna Malaysia berpotensi meraih pendapatan minyak dan gas lebih tinggi.

“Peniaga juga teruja dengan pengumuman lebihan dagangan lebih tinggi sebanyak RM7.35 bilion,” katanya. Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama lain.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 2.8786/8830 daripada 2.8874/8921 semalam dan bertambah baik berbanding yen Jepun kepada 3.5411/5466 daripada 3.5477/5532.

Ringgit juga naik berbanding euro kepada 4.4238/4311 daripada 4.4446/4515 dan mengukuh berbanding pound British kepada 5.4812/4895 daripada 5.5265/5343.