26 C
Kuala Lumpur
Monday, May 28, 2018

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

20
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini susulan mata wang negara maju itu susut selepas peningkatan baru-baru ini selain didorong sentimen tempatan menjelang pengumuman angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh 2017 Malaysia, kata peniaga.

Ringgit berada pada 3.9350/9380 berbanding dolar AS ketika dibuka pagi ini daripada 3.9370/9400 semasa ditutup pada Isnin.

Peniaga berkata, Wall Street terus mencatat peningkatan semula dan begitu juga pasaran saham utama lain, sekali gus meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur namun menjadikan mata wang selamat kurang menarik.

Bank Negara Malaysia dijadualkan mengumumkan data KDNK suku keempat 2017 Malaysia pada esok, yang dijangka melepasi paras lima peratus.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Nota tempatan rendah berbanding euro kepada 4.8345/8386 daripada 4.8279/8320 pada Isnin serta susut berbanding yen kepada 3.6204/6235 daripada 3.6202/6240.

Ringgit bagaimanapun naik berbanding pound kepada 5.4445/4490 daripada 5.4504/4553 semalam selain hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 2.9689/9732 daripada 2.9689/9713.