Ramesh Rao Kecewa Gagal Serah Memo Pada Tun M

154
0
KONGSI

PUTRAJAYA: Pertubuhan Minda Sosial dan Prihatin (PMSP) kecewa tidak dapat menyerahkan memorandum kepada Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendesak beliau mengisytiharkan harta keluarga dalam dan luar negara.

Presidennya, Ramesh Rao berkata, beliau hanya dapat menyerahkan memorandum terbabit kepada pengawal keselamatan Yayasan Kepimpinan Perdana.

“Amat mengecewakan kami tidak dibenarkan masuk ke dalam sebab mereka keluarkan arahan kami tidak boleh masuk. Mungkin ini harta peribadi, harta kerajaan atau siapa, saya tak tahulah.

“Memorandum hanya boleh dihantar di sekuriti. Saya pun tak tahulah mungkin freedom of speech (kebebasan bersuara) yang dilaksanakan oleh Mahathir,” katanya kepada pemberita di luar Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Ramesh mendakwa, tujuan beliau menghantar memorandum terbabit kerana pihaknya menerima laporan bekas Perdana Menteri itu memiliki harta luar biasa di Argentina, Australia, Sydney, Langkawi dan Subang Jaya hasil pemerintahannya selama 22 tahun.

Tambahnya, salah seorang penulis antarabangsa Barry Wain dalam bukunya Malaysia Maverick : Mahathir Mohamad In Turbulent Times turut mendakwa bahawa Dr Mahahtir mempunyai harta bernilai berbilion.

“Dalam buku Barry Wain ini, dia mengatakan Tun Mahathir mempunyai berbiliion tapi Tun Mahathir langsung tidak menjawab, saman atau tindakan terhadap penulis buku ini.

“Tidak pernah..(selama) 22 tahun. Kenapa diam? Bila bab (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dia suruh saman..itu ini. Jadi, anda saman dia dulu, anda jawab dia dulu dan kami akan desak Najib untuk saman Sarawak Report dan Wall Street Journal. Ini janji kami.

“Saya akan pastikan. Saya akan kejar Datuk Seri Najib dekat mana sahaja. Janji anda buat kerja anda dulu. Jawab yang isi kandungan ini mengatakan (duit ada) berbilion bilion,” tegasnya.