Ramalan PRU Invoke Tidak Boleh Dipercayai – Hishammuddin

84
0
KONGSI

PERMATANG PAUH: Ramalan Invoke Malaysia bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menawan lima negeri daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak boleh dipercayai.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ia hanya sekadar kaji selidik yang dilakukan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ia ‘mungkin berubah’ sekiranya ramalan yang dibuat tidak menepati kehendak.

Ujarnya, mudah untuk mana-mana pihak membuat ramalan sedemikian sebelum pilihan raya berlaku.

Namun, beliau percaya keputusan sebenar hanya akan dizahirkan pada pilihan raya kelak dan bukannya bergantung kepada ramalan yang dibuat Invoke Malaysia.

Justeru, ahli UMNO dan BN tidak perlu bimbang mengenai ramalan yang dibuat, sebaliknya diseru supaya bersatu mengembleng tenaga memastikan kemenangan kekal berpihak kepada BN, katanya.

“Saya tidak percaya (ramalan Invoke). Macam-macam kita boleh ramal sebelum pilihan raya. Sebelum PRU13 dahulu pun banyak ramalan yang dibuat. Tetapi apabila ramalan tidak menjadi, dia ‘tukar tiang gol’. Ini berlaku di negara asing juga.

“Jadi nasihat saya kepada ahli parti, jangan risau. Kita pertahan negara kita dan kita tunaikan tanggungjawab kita kepada rakyat.

“Bagi mereka yang membuat ramalan ini, mereka akan menukar tiang gol apabila ramalan mereka tidak menjadi,” kata Hishammuddin, yang percaya kaji selidik dan ramalan Invoke tidak akan menjejaskan semangat BN.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Perjumpaan dan Amanat bersama Kepimpinan 4 Peringkat UMNO Negeri Pulau Pinang pada Sabtu.

Sebelum ini, pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli berkata PH akan menawan lima negeri daripada BN pada PRU14.

Katanya, PAS akan tewas di semua kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi, termasuk di kubu kuat mereka, Kelantan.

Beliau juga mendedahkan PH akan memenangi 89 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, meletakkanya di hadapan 76 kerusi Parlimen yang dimenangi BN, sekiranya berlaku perlawanan pelbagai penjuru secara menyeluruh.

Ramalan itu bagaimanapun tidak memasukkan kiraan di Sabah dan Sarawak.

Menurut Rafizi, BN mengekalkan Terengganu dan Pahang tetapi berjaya merampas Kelantan daripada PAS selepas 28 tahun berusaha.

Ramalan itu juga menunjukkan PH akan mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang, dan memasukkan Kedah, Johor dan Perak ke dalam senarai negeri yang dikuasainya.