Ramai Minat Projek Kereta Ketiga – Tun M

19
0

SUBANG: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui banyak pihak menunjukkan minat yang tinggi terhadap projek kereta nasional ketiga.

Perdana Menteri berkata, ia menjadi petunjuk bahawa projek berkenaan sebenarnya diterima dan ditunggu-tunggu banyak pihak untuk direalisasikan.

“Sebelum ini ramai orang yang menolak projek kereta nasional ketiga. Mereka kata ‘no way’… ‘not my way’ tapi ‘no way’.

“Tapi hari ini ramai yang jumpa saya dan bertanya mengenai projek itu dan menunjukkan minat terhadapnya.

“Jika kita berkeinginan untuk melakukannya, kita akan dapat jika kita memang inginkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima Anugerah Automotif Sepanjang Hayat di atas sumbangan dan kegigihannya memacu industri automotif negara.

Dr Mahathir menerima anugerah khas itu daripada Institut Automotif Malaysia (MAI) sempena Malam Anugerah Kereta Tahunan Malaysia 2018 di sini, malam ini.

Anugerah disampaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Madani Sahari.

Yang turut hadir, isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Jun lalu, Dr Mahathir bercadang mewujudkan jenama kereta nasional baharu, bagi menggantikan Proton yang sudah tidak dianggap sebagai jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.

Dr Mahathir yang terharu dengan anugerah yang diterimanya menegaskan, beliau yakin industri automotif negara akan terus berkembang dan mengalami kemajuan yang progresif.

“Industri ini semakin meningkat kerana mereka yang terbabit dengan industri ini tahu mereka terbabit dalam bidang pembuatan, rekaan dan menghasilkan kenderaan yang berkembang pesat,” katanya.

Pada majlis itu, Peugeot 3008 dipilih sebagai pemenang Anugerah Kereta Tahunan Malaysia 2018.