Rakyat Malaysia Gemar Merungut – KSU KPDNKK

127
0
KONGSI
KUALA LUMPUR: Merungut. Itulah gambaran sikap rakyat Malaysia yang dikatakan gemar mengomel mengenai pelbagai isu melibatkan peningkatan kos hidup kebelakangan ini.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian umum, premis perniagaan, makanan dan sektor perhotelan misalnya sentiasa dipenuhi pelanggan di kalangan rakyat tempatan.

Situasi itu juga disokong fakta hasil kajian di mana tahap kesedaran pengguna tempatan ketika ini adalah 58 peratus, manakala kuasa pasaran pengguna lebih rendah iaitu pada tahap 51 peratus.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, situasi itu tidak membantutkan usaha kerajaan untuk terus berusaha memastikan pengguna tidak mengabaikan hak mereka.

“Dalam apa juga situasi, akhirnya kuasa pengguna yang akan menentukan keadaan pasaran. Jadi pengguna perlu bijak berbelanja, walaupun ada yang merungut tetapi masih ada yang terus dengan gaya hidup yang tidak mencerminkan apa yang mereka sering rungutkan.

“Jalan terbaik adalah rakyat negara ini menggunakan hak bagi memastikan kuasa pasaran masih bergantung kepada mereka,” katanya.

Kata Alias, hasil kajian yang dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menggambarkan realiti kehidupan rakyat negara ini.

“Peratusan itu juga menunjukkan usaha masih perlu dilaksanakan untuk mendidik pengguna supaya tidak mengabaikan hak mereka.

“Jika peniaga perlu mematuhi etika, begitu juga bagi pengguna yang sepatutnya sentiasa bijak berbelanja,” katanya.

Katanya lagi, jangan pula pengguna menganggap hanya peniaga sahaja perlu beretika dengan tidak mengaut keuntungan berlebihan.

Selain itu, katanya, situasi terkini mendapati kadar pendapatan isi rumah lebih tinggi daripada Indeks Harga Pengguna (CPI) walaupun ia sepatutnya berlaku sebaliknya. – MSTAR