Rafizi Bangga Bongkar Skandal UMNO, Tapi Bimbang Pembangkang Menang

3486
1

Oleh: Khizairi Khizan

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan mereka memperoleh kejayaan apabila dapat membongkar pelbagai isu melibatkan UMNO.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli berkata, pihaknya akan terus membongkar sehingga UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kita bongkar semuanya satu per satu. Daripada kisah lembu, cincin, 1MDB, derma RM2.6 billion dan banyak lagi telah pun kita dedah dan panaskan.

“UMNO jadi popular dengan apa yang kita bongkar dan sekaligus membuatkan rakyat hilang rasa hormat terhadap sebarang usaha kerajaan,” katanya ketika ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR Ke-11 di Ideal Convention Centre (IDCC), tengah hari tadi.

Namun disebalik itu juga Rafizi turut bimbang sekiranya pembangkang menang kerana memikul amanah rakyat dan tidak mahu disamakan dengan UMNO dan BN kelak.

“Saya yakin kita (pembangkang) akan menang pada PRU14 nanti. Itu saya tidak bimbang tetapi bila kita menang, amanah yang dipikul sangatlah besar.

“Kita kena jadi yang lebih baik daripada BN dan pastikan apa yang diperjuangkan untuk rakyat akan terlaksana. Jangan hanya pandai bercakap untuk mendapatkan kemenangan semata-mata,” katanya.