Rafidah Aziz Letak Jawatan Pengerusi Supermax

62
0

Oleh: Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Tan Sri Rafidah Aziz meletakkan jawatan sebagai pengerusi Supermax Corporation Berhad berkuatkuasa 14 April lalu.

Keputusan itu dibuat selepas pengarah urusan syarikat itu Datuk Seri Stanley Thai memohon maaf kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menyokong pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Thai bakal berdepan hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan bersalah kerana berkongsi maklumat bukan awam berkaitan saham sebuah syarikat dan kini sedang dalam proses membuat rayuan.

“Susulan permohonan maaf oleh Stanley Thai kepada perdana menteri atas apa jua yang dia lakukan pada PRU-13, saya meletakkan jawatan sebagai pengarah pengarah dan pengerusi Supermax Corporation, berkuatkuasa 14 April.

“Meskipun dia berhak buat apa saja yang dia rasa perlu, saya tidak berkongsi sentimen sama,” katanya lapor Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, tindakan menyokong mana-mana parti politik adalah hak demokratik.

“Saya pegang teguh nilai dan prinsip integriti, kejujuran dan menjalankan hak saya untuk menyokong mana-mana parti politik dan bersuara berkenaan apa-apa isu kepentingan awam dan tidak gentar dengan ugutan daripada sesiapa sekiranya saya bercakap benar,” katanya.

Sabtu lalu, Thai membuat sidang media untuk memohon maaf secara rasmi kepada Najib.

“Saya menyesal pada PRU-13, saya percaya saya dipengaruhi pembangkang. Sebagai ahli perniagaan saya tidak seharusnya terlibat dalam politik dalam apa jua keadaan, dan saya menyesal,” katanya.

Selepas keputusan PRU-13, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual kepentingannya dalam Supermax.

Difahamkan, dalam wawancara bersama Bloomberg pada 2014, Thai berkata dia menyokong pembangkang “untuk melindungi masa depan anak-anak saya”.