Quo Vadis Kereta Nasional Kedua

926
0
KONGSI

Oleh: S.M. Zakir

Ketika berada di Jepun dalam lawatan kerja pertama ke luar negara, Tun Dr Mahathir mencadangkan projek kereta nasional kedua setelah Proton tidak lagi menjadi aset nasional setelah diambilalih oleh Geely Corporation dari China. Kenyataan Tun M ini masih di peringkat cadangan, dan tentunya belum diteliti oleh anggota kabinet Kerajaan Pakatan Harapan hari ini. Era Malaysia baru hari ini diharapkan bukan lagi seperti era 80-an di bawah pemerintahan Dr. Mahathir, yang meletakkan anggota Jemaah Menteri untuk hanya tahu mengangguk sahaja. Pelaksanaan projek ini tentunya memerlukan penelitian yang sangat rinci terhadap semua aspek ekonomi. Maka ia harus berani ditolak jika hanya akan mengulangi sejarah kegagalan Proton.

Cadangan untuk mengadakan kereta nasional kedua ini kelihatan bertentangan dengan langkah berjimat cermat Kerajaan PH, termasuklah menangguhkan (membatalkan?) HSR dan MRT3. Pada era hari ini keperluan terhadap infrastruktur pengangkutan awam yang maju,kemas dan canggih adalah lebih mendesak daripada pembinaan kilang pengeluar kereta nasional kedua. Malaysia telah mempunyai lebihan kereta yang mencecah 700-800 ribu unit setahun di jalan raya sehingga infrastruktur jalan raya sudah tidak mampu untuk menampung pertambahan kenderaan setiap tahun. Pada era mengawal pelepasan karbon di dunia hari ini, sepatutnya Malaysia lebih menumpukan kepada pembangunan infrastuktur pengangkutan awam yang bersih dan canggih, dan bukan membina kereta yang tambah menyesakkan.

Jika dipercayai bahawa dengan adanya pengeluaran kereta nasional kedua ini dapat menambah peluang pekerjaan terutamanya di bidang kejuruteraan, ia bukanlah faktor utama untuk merealisasikan cadangan ini. Ini kerana bidang pekerjaaan sekarang lebih bergerak ke arah teknologi tinggi dan teknologi pintar. Malaysia juga menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh tempatan. Hal ini lagi akan membawa kepada masalah kemasukan pekerja asing untuk memenuhi keperluan tenaga buruh pengeluaran kereta nasional kelak. Ia akan menjadikan lambakan buruh asing tidak akan terselesaikan sampai bila-bila. Peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia hari ini haruslah diterokai dalam bidang teknologi baru, yang lebih terlibat dalam revolusi 4.0.

Proton telah melihat kegagalan pemindahan teknologi oleh syarikat Jepun kepada syarikat tempatan. Hal ini tentunya akan berulang, kerana terdapat kebarangkalian yang sangat kecil untuk mana-mana syarikat mega memindahkan teknologinya kepada syarikat lain, apatah lagi syarikat dari negara lain. Dalam pada itu suasana persaingan industri automotif sekarang jauh lebih sengit dan rumit daripada dahulu. Jika Proton telah gagal bersaing 30 tahun dahulu ketika Korea Selatan dan China belum wujud dalam persaingan automotif, apakah kereta nasional kedua ini akan berjaya sekarang menghadapi persaingan yang 10 kali lebih besar dan canggih hari ini. Tidak dapat tidak Malaysia akan mengulangi 30 tahunnya yang gagal, dan mungkin lebih teruk daripada itu.

Ketika ditubuhkan pada tahun 1983, untuk tempoh sepuluh tahun pertama kereta nasional Proton menguasai 70-80 peratus pasaran domestik. Namun pada hari ini, proton yang mempunyai kurang dari 20 peratus pasaran domestik. Malah penguasaan pasaran domestik untuk tempoh beberapa lama itu telah dibantu oleh polisi yang tidak adil dan menyusahkan rakyat melalui pengenaan cukai yang tinggi terhadap kereta import. Ia seolah-olah memaksa rakyat Malaysia menggunakan produk, yang lebih malang lagi mempunyai kualiti yang rendah. Apakah pewujudan dan pengeluaran kereta nasional kedua ini juga akan mengulangi
polisi-polisi yang bersifat ‘pemaksaan’ terhadap penggunaan produk bermutu rendah itu lagi. Malah ia menafikan rakyat Malaysia untuk mendapatkan produk automotif yang berkualiti dengan harga rendah seperti kereta Honda dan Toyota contohnya, berbanding rakan mereka di negara jiran.

Proton Holding Berhad ditubuhkan pada tahun 1983 atas usaha dan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir, untuk mengeluarkan jenama kereta nasional. Ia dimiliki oleh kerajaan Malaysia melalui Khazanah Nasional. Proton menjalankan usahasama dengan Mitsubishi Motor Corporation, dengan pengeluaran kereta yang menggunakan enjin Mitsubishi. Proton mengharapkan pemindahan teknologi, tetapi ia tidak berlaku semudah yang disangka sehingga Proton terus bergantung kepada teknologi luar untuk membangunkan komponen penting dalam industri automotifnya. Bagaimanapun Proton terus mengeluarkan kereta dengan gabungan kepakaran tempatan dan luar. Sejak tahun 2000 Proton telah menjual keretanya ke 15 buah negara.

Proton dimiliki oleh HICOM, minoriti sahamnya dimilik oleh Kumpulan Mitsubishi dan pada tahun 2005 menjual sahamnya kepada Khazanah Nasional. Pada tahun 2012, Proton dimiliki sepenuhnya pula oleh DRB-HICOM. Proton kemudian membeli Lotus yang hampir bankrap dan mengeluarkan kereta menggunakan teknologi continental. Bagaimanapun pada tahun 2017, 51 peratus saham Proton-Lotus dijual kepada Geely Holding Group dari China. Ia menjadikan Proton pertama kali dikuasai oleh syarikat asing sejak ia ditubuhkan. Sehingga hari ini kerajaan telah menanggung lebih daripada 15 billion ringgit untuk memastikan kereta nasional ini terus bernafas. Namun dari ke hari dengan pasaran ekonomi terbuka mendedahkan produk tempatan kepada persaingan yang amat sengit, Proton semakin tersepit sehingga akhirnya ‘menyerah’ untuk dikuasai oleh Geely.

Sejarah luka Proton tidak mungkin diulang untuk menempuh kejayaan. Ini kerana industri automotif hari ini tidak mungkin menyediakan peluang kedua untuk industri automotif Malaysia. Keteguhan jenama dunia yang sedia ada, di samping jenama baru dalam persaingan pasaran Asia seperti kenderaan dari Korea Selatan dan China, juga tidak ketinggalan India akan menyukarkan mana-mana produk baru untuk masuk menembusi pasaran Asia-Dunia. Pasaran domestik juga tidak meyakinkan dengan populasi penduduk yang kecil, berbanding produk keluaran China dan India yang mampu berdikari oleh populasi penduduk yang sangat besar, sekaligus menyediakan pasaran domestik yang sangat besar. Di manakah pula letaknya
kedudukan pasaran kereta nasional kedua Malaysia, dalam suasana pasaran domestik dan pasaran luar negara dunia hari ini?

Ternyata mengadakan kereta nasional kedua ini adalah langkah yang kembali ke belakang, malah lebih buruk lagi akan mengulangi kegagalan dan kerugian berbilion ringgit serta masa puluhan tahun untuk perkara yang sia-sia. Kita tahu Tun M mempunyai impian yang besar dan murni untuk rakyat Malaysia serta negara Malaysia. Tetapi impian besar dan murni ini juga harus diperhalusi oleh rakan-rakan Tun M dalam PH, demi melihat rasionalisasi keperluan rakyat hari ini. Adalah lebih baik meneruskan HSR dan MRT3 yang lebih diperlukan oleh rakyat daripada kilang kereta yang akan menyesakkan jalanraya saban tahun serta meningkatkan hutang domestik oleh pinjaman kenderaan. Jika ia ingin diteruskan juga, mengapa tidak sahaja dibeli kembali saham Proton daripada Geely.

Malaysia Baru mengharapkan Jemaah Menteri yang mampu membantu Perdana Menteri melaksanakan keperluan rakyat yang paling mendesak, dan bukan Jemaah Menteri yang menjaga kepentingan cita-cita dan legasi hanya untuk seorang Perdana Menteri sepertimana yang wujud dan mereputkan Malaysia Lama dahulunya. Malaysia Baru juga harus bergerak ke hadapan dan bukan melangkah ke belakang menghidupkan ‘kereta lama dan berkarat’ di dunia yang tidak lagi memerlukan asap dan karbon.