Pusat Hiburan Dibenar Operasi Ikut Syarat Lesen – Khalid Samad

34
0

KUALA LUMPUR: Pusat hiburan di ibu negara yang sebelum ini memiliki lesen beroperasi sehingga jam 3 atau 5 pagi akan dibenarkan meneruskan operasi masing-masing.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata keputusan itu membabitkan 24 premis hiburan yang memiliki lesen sehingga jam 5 pagi dan 149 lagi mempunyai lesen sehingga jam 3 pagi.

Kata Khalid, secara keseluruhan terdapat 672 premis hiburan di ibu negara dengan lesen had masa operasi yang berbeza.

“ Selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk 11 Ahli Parlimen, kami bersetuju untuk membenarkan premis hiburan yang sebelum ini memiliki lesen operasi sehingga jam 3 atau 5 pagi, meneruskan perniagaan masing-masing.

“Pihak DBKL juga akan berbincang dengan pusat hiburan yang memiliki lesen sehingga jam 2 pagi supaya dapat menutup perniagaan pada jam 1 pagi seperti yang dicadangkan sebelum ini.

“Ini kerana kita akan menguatkuasakan waktu tutup operasi tidak lama lagi bagi memastikan pemilik premis hiburan menepati peraturan dan syarat operasi yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan 2019 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan yang baharu dilantik, Datuk Seri Saripuddin Kasim serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.