Pupuk Minat Berniaga Terhadap Belia

35
0

Oleh : Saadah Latib

KUALA LUMPUR : Golongan belia digalakkan untuk berani menceburi bidang perniagaan untuk mengelakkan daripada terlalu bergantung kepada pendapatan bulanan yang diperoleh daripada makan gaji sahaja.

Pengerusi Pemuda Dewan Perdagangan ASEAN Farique Azwan berkata perkara ini perlu diberi penekanan kerana melalui perniagaan yang dilaksanakan secara berhemah ianya mampu memajukan ekonomi diri, keluarga bahkan terhadap negara.

“Belia yang aktif dan bijak mencari peluang bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatan sendiri malah mampu membantu mengangkat negara ke satu peringkat yang membanggakan di mata dunia.

“Makan gaji hanya memberi pendapatan bulanan kepada seseorang individu itu sahaja, perkara sebaliknya apabila berkecimpung dalam bidang perniagaan ianya turut membantu individu lain dalam mencari peluang pekerjaan,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurutnya, pemikiran generasi muda perlu dicorak sejak di sekolah lagi dalam memastikan minat mereka terdorong untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan.

Tambah Farique, kerjasama beberapa pihak berwajib perlu dilaksanakan dalam memastikan perkara ini tidak berlaku dengan sia-sia.

“Pemuda Dewan Perdagangan ASEAN berpendapat kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengubah perspektif anak muda dengan memberi pendedahan awal kepada pelajar bermula di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah.

“Menyedari kepentingan pendidikan perniagaan, kerjasama KPM dan Kementerian Pembangunan Usahawan perlu dilaksanakan supaya dapat mempromosikan kerjaya dalam bidang perniagaan agar pelajar tidak terkeliru ketika memilih aliran yang sesuai untuk mereka selepas Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3),” ujarnya.