PTPTN: Majikan Tiada Kuasa Potong Gaji Pekerja

9
0

GEORGETOWN: Majikan tidak berhak memotong secara terus gaji pekerja mereka untuk membayar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, tiada undang-undang yang membolehkan majikan memotong secara terus gaji pekerja mereka tanpa persetujuan terlebih dahulu.

Beliau berkata, potongan gaji berjadual (PGB) hanya boleh dilakukan sekiranya terdapat pindaan kepada Akta PTPTN sedia ada.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh bercakap mengenai pindaan Akta kerana ia bukan berada di bawah bidang kuasa saya.

“Tetapi jika ada (pindaan), kita kena ikut dan mematuhinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Employment Law Forum 2018 di Olive Tree Hotel di sini.

Mengulas mengenai keluhan peminjam berhubung arahan pembayaran itu yang disifat akan membebankan mereka, Kulasegaran berkata setiap pihak perlu memainkan peranan ketika kedudukan kewangan negara kritikal.

Malah, beliau berkata semua menteri, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersetuju membuat potongan 10 peratus gaji mereka kerana keadaan ekonomi sekarang.

“Jika situasi ekonomi baik, tidak ada sebab untuk kita lakukan (PGB) dan saya yakin ekonomi kita akan bertambah baik,” katanya.

Semalam, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya akan melaksana kaedah bayaran balik pinjaman secara potongan gaji berjadual (PGB) bermula Januari 2019 yang mampu memberi faedah lebih besar kepada peminjam berpendapatan rendah.

Menurut Wan Saiful, kaedah PGB itu akan dilaksana mengikut peratus potongan daripada gaji peminjam berbanding kaedah lama yang bergantung kepada jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik.

Beliau berkata skim ini akan mencontohi sistem potongan cukai bulanan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di mana PTPTN akan berhubung secara terus dengan majikan, yang akan bertanggungjawab untuk potongan gaji mandatori.

Beliau juga mengatakan bahawa PTPTN akan mengeluarkan arahan kepada majikan untuk melaksanakan potongan mengikut peratusan yang ditetapkan dalam skim PGB.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Datuk Abdul Halim Mansor mengatakan bahawa PTPTN tidak dapat membuat potongan daripada gaji peminjam tanpa persetujuan daripada mereka atau majikan mereka.

Peruntukan-peruntukan di bawah Akta Pekerjaan 1955 menetapkan bahawa apa-apa bentuk pemotongan mestilah mempunyai kelulusan terdahulu pekerja.