PRK Cameron Highlands: BN Tambah Majoriti, Undi PH Berkurangan

46
0

CAMERON HIGHLANDS: Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor, mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands apabila meraih 12,038 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran (8,800 undi) dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Beliau memperoleh majoriti 3,238 undi berikutan 68.79 peratus daripada 31,639 pengundi keseluruhan, atau 21,428 orang keluar mengundi, dengan 568 kertas undi ditolak dan 23 kertas undi tidak dikembalikan.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ishak Md Napis, di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, di sini.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh, pada PRU lalu yang berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi; Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi.

Berbanding PRU-14, BN berjaya menambah majoriti undi sebanyak 1,731 undi manakala calon PH daripada DAP, Manogaran, yang turut bertanding di kerusi sama pada PRU-14, menyaksikan susutan sebanyak 910 undi.

PRK ini adalah yang kelima selepas PRU Ke-14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.

Selepas ini, PRK DUN Semenyih pula akan diadakan pada 2 Mac depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Februari ini. PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.