Populariti Adenan Satem Tinggi Di Sarawak

127
0
KONGSI

UALA LUMPUR: Kajian oleh Merdeka Centre for Opinion Research, mendapati populariti Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem adalah tinggi di hampir semua segmen pengundi mengikut kaum.

Namun, ia bukan jaminan bagi Barisan Nasional untuk meraih sokongan besar pengundi, khususnya pengundi Cina pada Pilihan Raya Negeri ke-11 nanti.

Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian ketika dihubungi berkata, ia kerana, masih terdapat banyak isu-isu lama yang tidak dapat dirungkai di Sarawak, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.

“Dan juga terdapat banyak yang tidak puas hati khususnya yang tinggal di bandar.

“Jadi, saya fikir pengundi mahu memberi kepercayaan kepada beliau tetapi memandangkan beliau masih baru dan banyak lagi masalah yang belum dapat diselesaikan jadi mungkin ada sektor-sektor yang pihak BN akan masih berasa tercabar, khususnya di kawasan bandar dan di beberapa kerusi yang bersifat campuran etnik di pinggir-pinggir bandar.

“Itu salah satu daripada apa yang kita temui,” katanya.

Menurutnya, kajian itu juga mendapati isu-isu berkaitan ekonomi dan urus tadbir antara perkara yang diberikan perhatian oleh pengundi Cina, khususnya di kawasan kategori tegar pembangkang yang berpusat di sekitar Kuching.

Ibrahim berkata, kajian yang dijalankan pada Januari lalu itu juga mendapati sentimen dalam kalangan pengundi Sarawak yang mahu melihat kebebasan negeri mereka dalam membuat keputusan dalam beberapa sektor seperti pembangunan dan ekonomi.

Katanya, semangat Sarawak itu begitu tinggi untuk melihat penurunan autonomi yang lebih meluas diberikan kepada negeri itu seperti yang diperjuangkan oleh Adenan ketika ini.

“Apa yang ditonjol oleh Adenan itu memang serasi dengan pengundi dan apa yang perlu ditampilkan untuk mendapat kelebihan pada pilihan raya nanti ialah pelan menangani dua perkara utama.

“Pertama  adalah sistem urus tadbir akan dapat diperbaiki dan kedua, kekurangan khususnya daripada infrastruktur di kawasan pinggir bandar, luar bandar itu dapat diatasi,” katanya. – AWANI