Simpanan Serta Data Penyimpan Selamat – KWSP

38
0

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memberi jaminan semua maklumat dan data penyimpan tidak terjejas, berikutan kebakaran di bangunannya di Jalan Gasing, Petaling Jaya, tengah hari tadi.

Bagaimanapun, KWSP berkata bangunan itu kini ditutup, dan semua kegiatan dan transaksi dihentikan sementara.

“Kami ingin memberi jaminan kepada ahli bahawa integriti maklumat dan simpanan ahli tidak terjejas,” kata kenyataan KWSP.

Bangunan yang dibuka pada 1960 itu boleh dilihat dari Lebuhraya Persekutuan, dan menerima suntikan reka bentuk baru beberapa tahun lalu.

Api kelihatan merebak di samping asap tebal dari bahagian atas bangunan itu, memaksa ratusan kakitangan dan orang ramai yang berurusan dengan dana awam itu terpaksa meninggalkan premis.

Bahagian luar bangunan itu kelihatan musnah dimakan api, sejurus selepas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran.

Sementara itu, KWSP berkata Pasukan Pengurusan Krisis Cawangan sedang bekerja dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi memastikan kebakaran tidak merebak ke tingkat lain.

Ia juga menasihati mereka yang ingin menjalankan sebarang transaksi dengan KWSP untuk mengunjungi cawangan KWSP terdekat.