Polis Ada Maklumat Dalang Rusuhan Hari Kedua – Muhyiddin

16
0

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai maklumat berhubung dalang rusuhan hari kedua di kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, yang turut menyebabkan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) cedera parah.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PDRM mempunyai maklumat mengenai individu yang terbabit dalam rusuhan pada 27 November itu dan tindakan segera akan diambil.

“Polis sudah ada maklumat dan mereka yang disyaki sudah diambil tindakan, laporan terkini yang saya terima semakin ramai bilangan yang ditahan dan direman.

“Kita juga terima kerjasama daripada orang ramai untuk membantu siasatan terhadap kes Muhammad Adib (Mohd Kassim), kita dimaklumkan seorang sudah tampil, kita akan terus menyiasat sehingga jelas terbukti siapa yang bersalah,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat bulanan Kementerian Dalam Negeri bersama PDRM, di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai senarai 28 individu yang diminta tampil membantu siasatan, Muhyiddin berkata setakat petang ini masih belum ada yang tampil menyerah diri.

Ketika ditanya mengenai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang dipanggil memberi keterangan hari ini, beliau berkata Waytha Moorthy dipanggil mungkin berkaitan kenyataan yang dibuat berhubung insiden di kuil.

“Polis memaklumkan siasatan akan dibuat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan,” katanya.

Insiden kekecohan pada awal pagi 26 dan 27 November lalu di tapak kuil terbabit menyebabkan seorang anggota polis cedera selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

Ia turut menyebabkan kecederaan parah kepada Muhammad Adib yang juga seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, yang kini masih dirawat di Institut Jantung Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, sehingga jam 8 pagi tadi, jumlah individu yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam insiden berkenaan adalah seramai 83 orang.