PM Mahu Kontinjen Sukan Asia Negara Ulangi Kegemilangan

21
0

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad yakin kontinjen Sukan Asia 2018 negara mampu mengulangi kedudukan berada dalam kelompok 10 terbaik bagi temasya kali ini sebagaimana dicapai pada Sukan Asia Guangzhou, China pada 2010.

Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak mengapa kontinjen negara tidak boleh mengulangi kegemilangan berkenaan kali ini atau melakukan lebih baik.

“Saya yakin kontinjen kali ini amat berkemampuan untuk mencatatkan kejayaan yang Iebih bermakna, insyaAllah.

“Ini kerana kita juga mempunyai atlet-atlet bertaraf dunia seperti Al Jufferi Jamari (silat), Azizulhasni Awang (lumba basikal), Wong Weng Soon (Wushu) dan tidak kurang hebatnya pasukan boling wanita dan skuad hoki lelaki kita,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Sukan Asia 2018 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan timbalannya, Steven Sim Chee Keong; Menteri Kabinet dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali.

Hadir sama, Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dan Chef de Mission Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Edisi yang berlangsung di Jakarta dan Palembang itu bakal membuka tirai saingan mulai 18 Ogos hingga 2 September ini.

Pada edisi kali ini, kontinjen negara akan diwakili 426 atlet dan 147 pegawai dengan atlet negara akan bertanding dalam 35 daripada 40 jenis sukan.

Bagi temasya di Guangzhou, kontinjen negara membawa pulang sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa dan berada pada di tempat ke 10 daripada 45 negara.