PKR Negeri Sembilan Akan Pastikan Anwar Menang

10
0

SEREMBAN: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan bersedia untuk berperang bagi memastikan presiden mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan selesa dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Menteri Besar dan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, jentera parti itu sudah bersedia untuk digerakkan bila-bila masa bagi pilihan raya kecil biarpun belum dimaklumkan secara rasmi tentang Anwar yang dikatakan bakal bertanding di Port Dickson.

“Kami mengalu-alukan beliau dengan tangan terbuka. Saya sudah mempunyai strategi untuk memastikan kita mengekalkan kerusi itu dengan majoriti yang bagus.

“Jika benar Anwar akan bertanding di Port Dickson, kami berasa sangat bertuah kerana dia mahu bertanding di sini,” katanya pada Selasa.

Ujarnya lagi, Anwar tidak mengatakan apa-apa mengenai rancangannya untuk bertanding di Port Dickson semasa lawatannya ke Tampin pada Ahad lalu.

Namun sewaktu pertemuan dengan anggota PKR di Tampin pada hari yang sama, Anwar secara terbuka menyatakan bahawa dia mempunyai tiga kerusi untuk dipilih dalam usahanya untuk kembali ke Parlimen.

Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu kemudiannya berseloroh sama ada mereka akan menyokongnya jika dia memutuskan bertanding di Negeri Sembilan sebelum disambut dengan tepukan gemuruh orang ramai.

Anwar juga berkata dia yakin akan memperoleh sokongan padu rakyat Negeri Sembilan kerana ramai dalam kalangan mereka yang sanggup ke utara bagi berkempen untuk pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 2008.