PKR Dakwa 1MDB Serah Syarikat Tenaga Kepada Firma China, Qatar

103
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: PKR mendakwa Putrajaya membenarkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melupuskan 100% pegangannya dalam Edra Global Energy Berhad kepada syarikat asing usaha sama China dan Qatar.

Menurut Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, perkara itu bertentangan dengan peraturan sedia ada yang membenarkan pegangan asing dalam mana-mana syarikat tenaga tempatan sehingga 49% sahaja.

Justeru, Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan memfailkan usul bagi membahaskan perkara itu di Dewan Rakyat pada 18 November ini.

“Dewan ini menggesa supaya Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membatalkan hasrat dan cadangan kerajaan persekutuan membenarkan 1MDB melupuskan pegangannya dalam Edra Global Energy Berhad sehingga 100% kepada pelabur asing seperti dirujuk dalam surat kebenaran bagi perkara sama daripada Suruhanjaya Tenaga kepada ketua setiausaha perbendaharaan bertarikh 11 September 2015,” notis usul beliau dipetik.

Menurutnya, perbahasan itu perlu disegerakan kerana bidaan bagi membeli Edra baru sahaja ditutup pada 6 November lalu dan keputusannya dijangka diumumkan pada bila-bila masa sahaja.

Jika pengambilalihan itu berlaku, Rafizi berkata ia akan memberi kesan kepada sektor tenaga apabila syarikat luar boleh menentukan kadar tarif elektrik negara.

Pada masa sama, ia akan menjejaskan kebolehan syarikat tempatan bersaing dengan pembekal tenaga China yang boleh melakukan perkara sama pada kos murah, kata Rafizi. -INSIDER