Piala Dunia Dan Aidil Fitri

67
0

Oleh: S.M. Zakir

Piala Dunia 2018 bermula hampir serentak dengan sambutan Hari Raya Aidil Fitri tahun 2018. Ia tentunya dua perkara yang berbeza, terutamanya bagi umat Islam. Satu merupakan acara sukan bolasepak yang terbesar di dunia, dan satu lagi adalah hari perayaan keagamaan umat Islam iaitu Hari Kemenangan umat Islam setelah sebulan mengerjakan ibadat puasa. Walaupun kedua-duanya adalah ‘temasya’, ia membawa signifikan yang sama sekali berbeza. Walaupun begitu, kedua-dua sambutan ini memberikan signifikan yang menarik jika dihubungkan dengan keadaan di Malaysia, khususnya setelah berlakunya perubahan lanskap politik yang besar setelah PRU14.

Aidil Fitri pada tahun ini rata-ratanya disambut dengan sederhana, namun terdapat semacam perasaan kebersamaan antara kaum khususnya melihat kepada tahap saling menghormati. Perubahan lanskap politik Pasca PRU14 memberikan kesedaran individual kepada setiap ahli masyarakat bahawa kehidupan mereka hari ini adalah sangat bergantung antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama. Perasaan ini dicapai mungkin oleh kesedaran terhadap corak pengundian yang melibatkan semua kaum secara majoritinya menolak kerajaan yang tidak disukai oleh kegagalan kepimpinan dalam menjaga kebajikan rakyat, terutamanya dari segi kenaikan kos sara hidup.

Setiap ahli masyarakat menyedari bahawa tanpa penyertaan semua kaum, perubahan politik tidak mungkin akan tercapai. Tidak ada kaum yang akan berjaya secara bersendirian di Malaysia ini. Sebaliknya kejayaan ke arah perubahan besar tidak dapat tidak wajib melibatkan penyertaaan dan kebersamaan semua kaum. Ini yang telah dibuktikan dalam PRU14, dan ia amat disedari oleh semua ahli masyarakat di Malaysia. Kesedaran ini telah memacu sikap yang lebih bertolak ansur dan memberi dalam diri ahli masyarakat. Sikap-sikap ke arah kesedaran kolektif yang positif dilihat timbul tanpa sedar dalam diri ahli masyarakat.

Walaupun tidak dinafikan terdapat kebimbangan terhadap agenda-agenda tertentu pada kemudian hari, tetapi pada umumnya kebanyakan ahli masyarakat mengambil sikap ‘menyimpan’ dan berusaha untuk menjayakan matlamat kolektif secara bersama melalui kesedaran dan tindakan individual yang tidak langsung. Keadaan ini dapat dilihat dalam suasana di tempat-tempat awam, juga di pusat beli belah yang memperlihatkan ketenangan dan keharmonian yang ceria. Malah terlihat kesediaan masyarakat bukan Melayu-Islam untuk menjayakan sambutan Aidil Fitri dengan cara masing-masing secara tidak langsung.

Kenaikan harga barang keperluan, malah barangan kehendak seperti pakaian dan hiasan adalah terkawal secara keseluruhannya. Tidak terlalu kelihatan pemain-pemain pasaran memainkan harga barangan seperti yang terjadi pada tahun-tahun sebelumnya. Ia sejajar dengan semangat untuk membantu negara yang dapat dilihat daripada kutipan Tabung Harapan yang mencecah lebih 80 juta ringgit. Ketenangan masyarakat ini juga terpamer daripada corak pemanduan di jalan raya pada musim perayaan, memperlihatkan kadar kemalangan ngeri agak terkawal pada tahun ini. Sikap yang menayangkan kebencian terhadap umat Melayu-Islam dalam kes-kes terasing di media sosial sepertimana berlaku pada tahun sebelumnya, hampir tidak ada pada tahun ini.

Keadaan tenang dan aman dengan sambutan Aidil Fitri yang serba sederhana. Ibu kota lengang, dan kesibukan jalan raya sejenak jeda. Kemungkinan rakyat letih dengan politik setelah hampir setiap hari memenuhi dunia percakapan media sosial dengan politik. Perayaan Aidil Fitri tahun ini tiba pada hari yang tepat untuk semua pihak berehat sejenak, bermuhasabah dan memperbetulkan keadaan masing-masing. Semua mengambil rehat seolah-olah untuk kembali bersedia menghadapi berita-berita politik yang lebih menggoncang selepas ini. Parti-parti baik yang menang atau yang kalah juga tidak ghairah ‘beraya’ sebalik lebih bersikap sederhana, mungkin juga oleh kelelahan ‘berperang’.

Dalam suasana Piala Dunia pula, kemeriahannya tidak lekang sepertimana sebelumnya. Pasukan-pasukan ternama dengan bintang-bintang handalan berkumpul dalam satu perlawanan bolasepak yang paling berprestij di dunia. Namun pertembungan kali ini menyaksikan satu kelainan apabila terlihat jurang antara pasukan-pasukan yang dianggap gergasi bolasepak dengan pasukan kerdil semakin rapat. Jika dahulu pasukan-pasukan gergasi ini dilihat sebagai ‘dewa’ yang tidak terkalahkan, tetapi kali ini ‘dewa-dewa’ ini sudah hilang kesaktian yang sangat menjarakkan mereka.

Semua pasukan tidak kira pasukan ternama atau tidak ternama, gergasi atau kerdil mempamerkan permainan yang hampir sama tarafnya. Malah beberapa pasukan kerdil telah mencipta sejarah mengalahkan pasukan ‘dewa-dewa’ ini. Jerman dikalahkan oleh Mexico, Argentina dan Brazil dikejutkan dengan keputusan seri. Malah Jepun mencipta sejarah sebagai pasukan Asia pertama mengalahkan pasukan dari Amerika Selatan iaitu Colombia.
Sementara Senegal mencipta sejarah sebagai pasukan Afrika yang mengalahkan Eropah iaitu Poland. Sementara Korea Selatan, Marocco, dan Iran menunjukkan permainan yang membuatkan pasukan-pasukan gergasi lawan mereka diasak hebat.

Keadaan ini semakin menunjukkan bahawa jurang antara ‘yang kuat dan yang lemah’ mengikut persepsi selama ini telah dihapuskan, termasuk persepsi lapuk yang meraja selama ini. Tahap permainan pasukan-pasukan yang dianggap kerdil dan pasukan belasahan telah meningkat dengan drastik sehingga tidak lagi membezakan mereka dengan pasukan ternama dunia. Malah hampir tiada lagi pasukan yang boleh diletakkan sebagai pasukan belasahan. Kecuali Arab Saudi yang dibelasah 0-5 oleh Rusia iaitu pasukan tuan rumah, pasukan-pasukan underdog lain hanya berjarak jaringan kecil iaitu satu atau dua jaringan sahaja.

Menurut Hegel, sejarah tercipta apabila manusia saling berjuang untuk mendapat pengiktirafan. Ia satu bentuk perasaan yang sedia berkembang dalam jiwa manusia yang disebut sebagai Tymos. Perjuangan sengit untuk mendapat pengiktirafan akhirnya melahirkan kaum tuan dan kaum hamba. Mereka yang menang menjadi tuan dan yang kalah menjadi kelompok hamba. Perjuangan berterusan kemudiannya apabila kelompok hamba juga berjuang untuk mendapat pengiktirafan terhadap hak mereka yang sama dengan golongan tuan. Apabila kelompok hamba mendapat apa yang mereka perjuangkan iaitu pengiktirafan tadi, dan semua kelompok hidup sama rata serta mendapat pengiktirafan masing-masing, maka pergerakan sejarah bagi Hegel telah berakhir.

Pada dunia hari, tahap pengakhiran sejarah secara idealnya hampir berakhir apabila jurang antara kuat dan lemah sudah semakin rapat. Semua negara telah merdeka dan mendapat pengiktirafan yang sama. Namun menurut Hegel, tahap pengakhiran sejarah ini melahirkan manusia-manusia yang kosong tanpa perjuangan, hidup dalam rutin yang tiada matlamat, mengejar sesuatu yang mereka sendiri tidak pasti dan akhirnya mengalami kelumpuhan berfikir. Masyarakat teknologi di hujung jari hari ini hampir menepati gambaran yang diberikan Hegel. Akhirnya kehidupan hanya bersifat temasya dan tidak mempunyai makna yang lebih besar selain daripada bertemasya.

Piala Dunia menyaksikan pasukan-pasukan bolasepak terpilih bertarung untuk merebut kejuaraan. Namun jurang antara pasukan semakin terhapus, dan perjuangan semakin terarah hanya kepada temasya. Perubahan lanskap politik juga menyaksikan matlamat kehidupan semakin bertindan tindih, dan akhirnya menjadi satu temasya. Namun apa yang dikatakan Hegel tidak semuanya benar. Ini kerana sejarah juga mempunyai putarannya. Keselesaan tidak selamanya kekal, dan perjuangan baru mungkin akan bermula – apabila jurang-jurang baru mula tercipta. Apatah lagi apabila ‘dewa-dewa’ baru muncul untuk berkuasa kembali!