PH Tuntut Siasatan Penjualan Tanah DBKL

37
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap penjualan 64 lot tanah yang dibuat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di antara 2014 hingga 2018.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata laporan berkaitan penjualan tanah membabitkan keluasan 171.7 hektar itu sudah diserahkan kepada SPRM Wilayah Persekutuan hari ini.

Beliau berkata, pengurusan tertinggi sebuah yayasan yang terbabit dalam pembelian tanah itu perlu disiasat SPRM berhubung peranannya dalam penjualan tanah berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya lot tanah berkenaan digunakan untuk pembinaan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), ia perlu diteruskan jika pembinaan sudah bermula, hampir siap dan sudah siap.

“Bagaimanapun, jika projek belum bermula ia perlu dihentikan serta merta untuk membolehkan SPRM melakukan siasatan,” katanya kepada media selepas menyerahkan laporan kepada SPRM Wilayah Persekutuan, di sini hari ini. Yang turut hadir Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Semalam, tiga daripada 11 Ahli Parlimen sekitar Kuala Lumpur, mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin, bagi mendapatkan laporan terperinci berkaitan projek kerajaan terdahulu.

Laporan penuh itu termasuk penjualan 64 tanah lot oleh DBKL kepada yayasan berkenaan dibuat di antara 2014 hingga 2018, yang mana hanya 30 lot dibina dengan rumah mampu milik, manakala selebihnya untuk tujuan komersial dan pembinaan kondominium.

Jumlah keseluruhan nilai lot tanah berkenaan dianggarkan RM4.28 bilion.

Sementara itu, Hannah Yeoh berkata, siasatan segera perlu dilakukan demi kepentingan awam kerana lot tanah berkenaan sepatutnya digunakan untuk manfaat masyarakat bukan kepentingan individu.

“Kami mahu siasatan segera bagi menentukan sama ada lot tanah berkenaan digunakan untuk kepentingan awam atau kemungkinan wujud penyelewengan,” katanya.