PH Tak Takut Najib Makin Popular – Mahfuz

40
0

KUALA LUMPUR: Populariti bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat kian meningkat tidak langsung mengusarkan Pakatan Harapan, apatah lagi menggugat keutuhan gabungan itu, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz berkata populariti Najib pasca kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya bersandar kepada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tidak lebih dari itu.

“Populariti beliau bukan baru hari ini meningkat, malah sudah lama dan terkenal seluruh dunia sejak isu 1MDB terbongkar.

“Saya akui populariti Datuk Seri Najib tidak pernah turun walaupun di peringkat antarabangsa atas isu-isu 1MDB sehingga kini.

“Jadi saya tidak bimbang. Rakyat ada pendirian sendiri,” katanya sambil menambah Najib adalah punca utama Barisan Nasional kalah PRU14.

Najib kini dilihat semakin aktif menjawab dan mengkritik kerajaan dalam pelbagai isu melalui laman media sosial miliknya, malah membiasakan diri menggunakan hashtag seperti #Bossku, #MaluApaBossKu.