PH Perlu Jelaskan Beza Sebat Syariah Dan Sivil – Hadi

10
0

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu memberi penjelasan kepada rakyat mengenai hukuman sebatan syariah dan sivil yang jelas banyak perbezaannya bagi mengelak isu sebatan terhadap dua wanita di negeri ini terus didebatkan.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata hukuman sebatan terhadap dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis pada Isnin lalu sengaja dijadikan isu panas oleh pihak tertentu untuk tujuan politik sedangkan hakikatnya hukuman sebatan syariah jauh lebih ringan berbanding sebatan sivil.

“Pihak yang berkaitan sepatutnya mengkaji perbandingan antara sebatan Islam dan sivil sebelum membuat sebarang kenyataan.

“Saya lihat mereka ini beri kenyataan secara spontan, saya yakin sekiranya perbandingan dibuat (sebatan syariah dan sebatan sivil), saya percaya orang bukan Islam akan pilih sebatan Islam,” katanya ketika ditemui di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, tidak menolak kemungkinan isu sebatan yang berterusan menjadi pertikaian pelbagai pihak bertujuan menutup keputusan pengguguran kes rasuah terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Saya tidak tahu adakah isu ini (sebatan) sengaja diperbesarkan untuk menutup isu berkenaan. Bagi saya, ada kes yang lebih besar iaitu pengguguran kes Guan Eng.

“Isu itu lebih besar sedangkan sebatan ini berkait dengan individu, bukannya negeri dan negara berbanding isu pengguguran kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu,” katanya.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini buat kali pertama menjatuhkan hukuman enam sebatan terhadap pasangan kekasih songsang.

Pasangan lesbian yang berasal dari Dungun dan Kuantan, Pahang itu menjalani hukuman enam sebatan setiap seorang apabila mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Selain itu, kedua-duanya didenda RM3,300 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, hukuman sebat yang dijalankan terhadap pasangan kekasih songsang adalah bersifat mendidik dan memberi pengajaran kepada pelaku dan masyarakat.

Beliau menegaskan hukuman yang dilaksanakan itu bukanlah untuk mencederakan atau menzalimi mana-mana pihak, sebaliknya ia boleh dianggap sebagai amaran kepada masyarakat bagi menjauhi perbuatan maksiat lebih-lebih lagi zina yang ditegah dalam Islam.