PH Jangan Jadi ‘Lebih Melayu’ Dari UMNO, PAS – Ronnie Liu

48
0

KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa eksekutif DAP, Ronnie Liu mengingatkan Pakatan Harapan agar tidak menjadi lebih Melayu berikutan kekalahan mereka pada pilihan raya kecil DUN Semenyih, Sabtu lalu.

“Akan ada beberapa pemimpin PH yang mula ketakutan berhubung kekalahan di Semenyih dan mendesak supaya mereka menjadi lebih Melayu.

“Dalam perkataan lain, mereka mahu PH menjadi ‘lebih Umno’ daripada Umno atau mungkin juga ‘lebih PAS’ daripada PAS.

“Sekiranya PH atau parti komponennya mengikut laluan itu, ini akan menjadi kesilapan terbesar,” katanya dalam satu kenyataan.

Liu berkata bahawa PH muncul sebagai pemenang pada pilihan raya umum tahun lalu kerana ia membawa mesej pluralistik.

Justeru, katanya, meniru BN semata-mata kerana kekalahan di Semenyih akan membawa padah dan bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh gabungan pemerintah selama ini.

PH gagal mempertahankan Semenyih daripada BN pada Sabtu lalu, selepas hanya 10 bulan menawan kerusi DUN Selangor itu pada pilihan raya umum ke-14.

Susulan kekalahan itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menggesa kerajaan pusat tidak lagi “apologetik” dalam melaksanakan janji yang melibatkan agenda Melayu dan bumiputera.

Liu walau bagaimanapun mencadangkan kepada Putrajaya memberi tumpuan kepada agenda berasaskan keperluan.

“Apabila kamu mempunyai agenda Malaysia, secara definisi kamu membantu orang Melayu, kerana orang Melayu adalah komponen terbesar masyarakat Malaysia,” katanya.

“Bukankah lebih baik menaikkan taraf keseluruhan masyarakat itu dan bukannya sekadar kelompok tertentu?”