Petrol RON97, RON95 Turun 1 Sen, Diesel Naik 1 Sen

9
0

KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 dan RON95 turun satu sen kepada RM2.22 dan RM1.92 seliter masing-masing manakala harga diesel naik satu sen kepada RM2.05 seliter mulai tengah malam ini hingga 18 Januari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata penetapan harga runcit produk petroleum bagi minggu terbabit (12-18 Januari) adalah mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Kerajaan Persekutuan mengotakan janji untuk melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

“Demi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara apabila harga minyak dunia meningkat, harga runcit produk​​​​​​​ petroleum akan dikekalkan pada tahap tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, ​​​​​​​kaedah mingguan itu, yang menurunkan harga runcit produk petroleum apabila harga minyak dunia turun dan mengehadkan pada RM2.20 bagi RON95 dan RM2.18 untuk diesel apabila harga minyak dunia naik, adalah inisiatif baharu kerajaan bagi melindungi kepentingan golongan B40.

“Had harga minyak ini akan dibatalkan apabila subsidi minyak bersasar dilaksanakan pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Mulai 5 Januari lalu, harga runcit produk petroleum ditetapkan secara mingguan apabila harga runcit bagi produk petrol RON97 diturunkan pada RM2.23 seliter manakala harga runcit petrol RON95 diturunkan kepada RM1.93 seliter manakala harga runcit bagi produk diesel diturunkan pada RM2.04 seliter.

Bagi minggu-minggu yang seterusnya, harga runcit akan diselaraskan semula mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula APM. – BERNAMA