Pesta Gay: Khalid Saman Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia

21
0

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, memfailkan saman terhadap Presiden Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin, yang didakwa menerbitkan video yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya berhubung penganjuran pesta gay.

Peguam Nurilya Ellyna Nor Azmal yang mewakili Khalid mengesahkan perkara itu ketika ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Beliau berkata Mahkamah Tinggi menetapkan pengurusan kes saman itu pada 30 Oktober ini.

Dokumen saman itu diperoleh media hari ini.

Khalid, 61, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 September lalu, melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates dan menamakan Asshima, 34, sebagai defendan.

Berdasarkan penyataan tuntutan, plaintif mendakwa defendan pada 18 Ogos lalu dengan niat jahat sengaja merakam, memuat naik dan/atau menerbitkan sebuah video mengandungi perkataan fitnah di laman Facebook miliknya di https://www.facebook.com/wanasshima.

Beliau mendakwa kandungan video itu secara langsung merujuk kepada dirinya kerana nama dan jawatannya ada disebut secara spesifik.

Katanya perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan pemimpin AMANAH berjaya menganjurkan dan meluluskan pesta gay yang terbesar di Kuala Lumpur sempena bulan Merdeka.

Perkataan fitnah itu membawa maksud plaintif mengiktiraf kedudukan LGBT di Malaysia, menaik taraf serta melindungi hak golongan itu.

Selain itu perkataan fitnah itu juga membawa maksud beliau mencabuli hak asasi manusia beragama Islam apabila menghalalkan atau meluluskan pesta gay itu.

Plaintif menegaskan bahawa disebabkan perkataan fitnah itu, beliau menanggung malu dan aib serta menjatuhkan maruah, kredibiliti dan reputasinya.

Beliau mendakwa tindakan defendan itu adalah sesuatu yang disengajakan dan dibuat tanpa sebarang usul periksa serta dengan niat jahat untuk umat Islam membencinya.

Oleh itu, plaintif memohon perintah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf melalui satu video dan dimuat naik di Facebook miliknya.

Beliau juga memohon perintah supaya permohonan maaf itu dibuat secara bertulis untuk diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian dalam masa 48 jam.

Selain itu beliau memohon perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbit atau mencetak perkataan fitnah itu.

Beliau juga memohon ganti rugi am, teladan, teruk dan kos serta relif lain yang sesuai.