Pertemuan Istana Dengan Adun Belum Akhiri Kemelut Politik Kedah

162
0
KONGSI

ALOR SETAR: Tiada lagi keputusan rasmi mengenai menteri besar baharu Kedah yang akan dilantik menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selepas selesai pertemuan antara pihak Istana dengan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional hari ini.

Pertemuan berakhir kira-kira jam 5.20 petang dengan Jemaah Diraja Kedah meninggalkan Wisma Darul Aman.

Mukhriz kelihatan mengiringi pengerusi jemaah itu, Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selesai pertemuan petang tadi.

Beberapa Adun juga kelihatan meninggalkan wisma tetapi enggan memberikan sebarang kenyataan mengenai hasil pertemuan itu.
“Tak tahu apa keputusan lagi, terima kasih kerana menunggu.

“Semua berjalan dengan baik,” kata Adun Bakar Bata Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah kepada wartawan ketika ditemui di luar wisma.

Sementara itu, Adun Bukit Lada Datuk Ahmad Lebai Sudin berkata pertemuan tadi berjalan dengan baik dan yakin pertukaran menteri besar akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Menteri besar baharu akan diumumkan, tunggu saja.

“Pertemuan tadi berlangsung dengan baik dan setiap Adun bertemu secara berasingan dan memberikan pandangan masing-masing kepada Jemaah Diraja,” katanya ketika ditemui.

Hari ini, semua Adun menghadap 3 ahli Jemaah Diraja, yang terdiri daripada Tunku Sallehuddin, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah, Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Kemelut politik Kedah sudah berlarutan lebih seminggu selepas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah Ahmad Bashah mengadakan sidang media pada 20 Januari lalu untuk menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Bagaimanapun, tanda tanya mengenai menteri besar baharu menjadi misteri apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengumumkan nama baharu menteri besar walaupun sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, dipercayai bagi membincangkan calon pengganti Mukhriz. – INSIDER