Perlu Tindakan Drastik Henti “Politiking” Berlebihan – Salleh Keruak

66
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Tindakan drastik perlu diambil bagi mengurang atau menghentikan kesan daripada tanggapan persepsi terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata ada banyak tanggapan berbanding realiti dalam persekitaran masyarakat khususnya dalam media sosial.

Sehubungan itu, katanya, wujud keperluan untuk mengubah daripada keadaan yang terlebih ‘politiking’, menjawab tuduhan dan dakwaan tidak berasas yang dilemparkan tanpa henti terhadap pentadbiran Perdana Menteri.

“Rakyat bebas untuk berbeza pandangan tetapi tidak bebas untuk mengutuk dan menghina pemimpin serta institusi pentadbiran negara.

“Demokrasi meraikan perbezaan pandangan tetapi tindakan menghina dan memfitnah bukan budaya dan amalan masyarakat di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran buku ‘If A Cat Had Nine Lives – The Legacy of Najib Razak’ di sini, hari ini.

Buku tulisan Ismail Noor yang menggunakan nama pena Ron Liamsi dalam bentuk satira itu bertujuan memperingati 40 tahun Perdana Menteri berkecimpung dalam politik.

Mengulas buku itu, Salleh berkata penulisan dalam bentuk satira bertujuan menarik perhatian pembaca terhadap isu tertentu yang membelenggu masyarakat. Katanya, ia juga dilakukan untuk provokasi secara positif bagi mendapatkan perubahan terhadap pemikiran masyarakat.