Perkukuhkan UMNO Dari Peringkat Akar Umbi – Tok Mat

29
0

SHAH ALAM: “Di belakang rumah saya dahulu, ada sebatang pokok yang besar. Ramai orang suka duduk, berkelah di bawah pokok itu.

“Satu hari, pokok itu tumbang. Bayangkan, pokok yang besar dan nampak kukuh itu boleh tumbang. Rupa-rupanya, ada lubang besar di bahagian tengah pokok itu, tetapi kita tak nampak.”

Itu analogi yang diberikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, tentang situasi kekalahan UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 14, Mei lalu.

Beliau yang mesra disapa Tok Mat itu bagaimanapun yakin UMNO mampu bangkit, dengan syarat kepimpinan dan anggota parti itu bersedia melakukan perubahan dan memperbaiki kesilapan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kekalahan UMNO dan Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan bukan kerana kekuatan pihak luar, sebaliknya kerana masalah dalaman parti itu sendiri.

Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan kerjasama semua pihak dalam UMNO untuk memastikan setiap kesilapan dan kekurangan parti itu dapat diperbetulkan, serta tidak hanya meletakkan kesalahan di bahu satu pihak sahaja.

“Kejatuhan UMNO bukan kerana satu pihak sahaja, tetapi yang lebih penting, struktur UMNO itu perlu diperbaiki dari bawah. Kita ada 3.5 juta ahli, tapi tak kuat.

“Masalah dalaman UMNO sendiri banyak, bukan di peringkat pusat malah di peringkat cawangan juga.

“Pokok kuat bukan sebab daunnya, tetapi akarnya. Begitu juga UMNO, perlu diperkukuhkan dari peringkat akar umbi,” katanya dalam sesi forum Wacana Sinar Harian kali-64 yang berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, menafikan Umno tidak mengambil iktibar dan tidak mengendahkan signal yang diberikan rakyat dalam beberapa pilihanraya terdahulu.

“Nak kata kami tak ambil iktibar, rasanya tak betul juga. Tapi mungkin ada tertinggal atau terlepas pandang.

“Untuk terus bergerak ke hadapan, kita perlu terima kekalahan, minta maaf dan perbetulkan kesilapan,” ujarnya.

Sesi forum itu turut disertai Ketua Pemuda Umno, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.