Percaturan DAP Dalam PRU14

343
0
KONGSI

Oleh:  AZMAN HUSSIN

PEMBANGKANG selalu menyatakan bahawa tidak mungkin Lim Kit Siang (atau ahli politik bukan Islam yang lain) menjadi Perdana Menteri Malaysia. Hujah yang dipakai oleh mereka adalah jumlah kerusi yang ditandingi DAP adalah sedikit berbanding parti lain dalam Pakatan Harapan, dan jika DAP memenangi semua kerusi itu pun, pemimpin DAP tetap tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri.

Secara zahirnya, ia adalah benar. Sesebuah parti perlukan kerusi Parlimen yang besar untuk meletakkan calon mereka sebagai Perdana Menteri. Jadi, bagaimana DAP mahu menguasai politik Malaysia sebagaimana yang didakwa jika kerusi yang ditandingi mereka adalah tidak banyak, dan itu pun belum tentu mereka akan menang semuanya?

Itulah asas yang selalu dijadikan hujah untuk menolak kemungkinan pemimpin DAP menjadi Perdana Menteri Malaysia oleh pembangkang Melayu yang takut hilang sokongan orang-orang Melayu. Maksudnya, ia ditujukan kepada orang-orang Melayu agar tidak perlu takut untuk menyokong pembangkang dan tidak perlu risau orang bukan Islam menjadi Perdana Menteri kerana bilangan kerusi mereka sedikit.

Sepintas lalu hujah itu kelihatan masuk akal.

Apa yang orang ramai tidak tahu jika mereka tidak memikirkannya secara mendalam adalah kenyataan bahawa tidak semestinya pemimpin sesebuah parti itu perlu menjadi Perdana Menteri untuk menguasai dan mengawal sesebuah negara.

Di Amerika Syarikat, bahkan seluruh dunia, orang-orang Yahudi tidak perlu menjadi Perdana Menteri untuk mengawal Amerika Syarikat dan dunia.

Ini realiti. Bagaimana orang-orang Yahudi menguasai politik dan ekonomi dunia. Untuk menjelaskan perkara ini adalah panjang lebar.

Di Malaysia (Semenanjung), pada PRU14 nanti, DAP dikatakan bakal meletakkan calon di 35 kerusi Parlimen.

Jumlah keseluruhan kerusi parlimen Semenanjung yang bakal ditandingi Pakatan Harapan adalah seperti berikut: PKR 51, PPBM 52, dan AMANAH 27.

Penyokong pembangkang yang berbangsa Melayu mungkin akan menempelak: mana mungkin DAP menjadi Perdana Menteri, kerusi yang ditandingi mereka adalah sedikit?

Kelihatan PPBM adalah parti terbesar dalam Pakatan Harapan. Melihat jumlah kerusi yang ditandingi ini ramai yang keliru seolah-olah PPBM adalah pencatur politik Pakatan Harapan, apatah lagi Tun Dr Mahathir adalah calon Perdana Menteri

Anda jangan cepat terkeliru.

Mari saya tunjukkan kepada anda kenyataan yang mungkin anda tidak sedari. Jangan silap faham, ia jumlah kerusi yang ditandingi, dan ia bukan bermakna jumlah kerusi yang dimenangi.

Cuba fikir logik, apa guna bertanding jika kita tahu risiko kita kalah adalah tinggi. Jadi, adalah lebih baik kita bertanding di kawasan yang kita yakini akan menang.

Jika DAP bertanding banyak kerusi pun, belum tentu mereka akan menang. Apa yang mereka lakukan adalah sesuatu realistik. Pilih kawasan yang mereka yakini boleh menang kerana apa gunanya bertanding banyak kerusi yang belum tentu dapat menjamin kemenangan.

Itulah yang difikirkan DAP. Dan dalam sudut yang lain, perkara ini dapat menyembunyikan kekuatan mereka di mata orang-orang Melayu. Ia menunjukkan DAP bukanlah siapa-siapa. Orang-orang Melayu tidak patut mencurigai DAP. Itulah mesej yang mahu disampaikan oleh DAP.

Sebaliknya jika DAP mendominasi jumlah kerusi yang dipertandingkan, tentulah ia akan menimbulkan kecurigaan ramai orang Melayu.

Secara lebih jelas, biar saya terangkan. DAP adalah parti yang dikuasai oleh orang-orang Cina, walaupun ia sebenarnya parti berbilang kaum. DAP masih dilihat sebagai musuh oleh sebahagian besar orang-orang Melayu walaupun mereka juga menyokong Pakatan Harapan.

Maka, untuk memperlihatkan DAP tidak menguasai Pakatan Harapan, tindakan mereka bertanding jumlah kerusi yang paling sedikit mewakili Pakatan Harapan adalah taktik yang berkesan.

Sebenarnya ini adalah matematik biasa. Ia boleh disimpulkan begitu mudah: jangan tamak, tumpukan perhatian kepada apa yang anda boleh kuasai, tinggalkan apa yang di luar kemampuan anda.

Jika anda semak buku seni perang seperti tulisan Sun Tzu, mungkin anda akan berjumpa teknik-teknik perang saraf yang lebih kurang begini diajarkan.

Bahkan dalam buku-buku nasihat perniagaan pun pasti diajarkan perkara-perkara seperti ini.

Sebenarnya dakwaan yang dibawa oleh pembangkang bahawa DAP tidak boleh menguasai negara ini adalah suatu mitos. Jika anda faham secara langsung, benarlah DAP tidak mampu menjadi Perdana Menteri.

Apa yang dimaksudkan DAP menguasai negara ini bukanlah dengan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri. Jika difahami begini, memanglah DAP tidak akan menjadi Perdana Menteri dalam masa yang terdekat ini sekurang-kurangnya.

Tetapi, apabila DAP dapat mengumpul dan mengolah sokongan orang-orang bukan Islam, khususnya orang-orang Cina, di bawah naungan parti mereka, tentulah peranan DAP adalah  besar dalam Pakatan Harapan. Tanpa penyertaan DAP, kerajaan baru Pakatan Harapan tidak akan dapat ditubuhkan.

Apa yang anda nampak? DAP akan menjadi menyumbang kerusi kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Melihat kepada ketegasan dan keangkuhan DAP selama ini dalam pelbagai isu berkaitan agama Islam dan orang-orang Melayu, mereka tentu akan meletakkan pelbagai syarat untuk kerajaan baru itu. Jika kehendak dan tuntutan mereka itu tidak dilayan atau tidak dipenuhi, mereka boleh mengugut untuk keluar daripada Pakatan Harapan.

Adalah perkara biasa setiap parti memiliki agenda mereka sendiri. DAP yang disokong oleh orang-orang bukan Islam, sudah tentulah agendanya lebih kepada orang-orang bukan Islam. Untuk terus mendapatkan sokongan, mereka mestilah memperjuangkan agenda orang–orang bukan Islam yang menjadi penyokong kuat mereka itu.

Jika DAP tidak dapat melakukan apa-apa untuk penyokong mereka ini, apa gunanya kerajaan baru.

Anda boleh bayangkan sendiri keadaan ini jika ia berlaku.

Perkara ini tidak sama dengan MCA dalam Barisan Nasional. MCA bukan parti teras dalam Barisan Nasional. Mereka tidak lagi kuat. Jika anda mahu berfikir, kerana MCA tidak dapat mengawal dan mencatur kerajaan Barisan Nasional itulah yang menyebabkan sokongan orang-orang Cina berubah arah kepada DAP.

Sebenarnya semua percaturan ini adalah sangat mudah difahami jika anda mahu berfikir.

Jadi, apa yang saya tulis ini? Apa perlunya saya tulis semua ini kerana ramai orang sudah mengetahui perkara ini?

Ya, saya terpaksa menulisnya semula panjang lebar keterangan yang mudah ini kerana masih ramai yang terleka dengan perkara ini dan memandang penguasaan politik itu hanya dengan melihat siapa yang menjadi Perdana Menteri atau parti mana yang memiliki kerusi Parlimen yang paling banyak.

Orang ramai masih tidak mampu melihat bagaimana percaturan sebenar politik melebihi soal siapa yang menjadi Perdana Menteri atau parti mana yang mendapat kerusi yang lebih banyak.

Jadi, orang-orang propembangkang Melayu yang memperlekehkan dan mentertawakan fakta DAP tidak dapat menguasai negara ini dengan jumlah kerusi yang paling sedikit ditandingi mereka berbanding sekutu politik mereka, orang-orang itu sebenarnya tidak memahami percaturan dan perkiraan politik yang sebenar.