Perbezaan Boleh Diterus Selepas Demokrasi Dikembalikan – Tun M

287
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Penyokong Deklarasi Rakyat dari kedua-dua pihak parti politik yang tidak sehaluan ini boleh meneruskan perbezaan pendapat mereka apabila demokrasi dan kebebasan dikembalikan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pemimpin dalam pelbagai bidang perlu membelakangkan pertubuhan dan perjuangan mereka supaya suara mereka dapat diperdengarkan kepada semua.

“Mereka perlu bertindak sebagai rakyat dan bukan lagi sebagai parti atau badan-badan tertentu.

“Kesedaran inilah yang menyebabkan mereka yang bermusuh membelakangkan permusuhan mereka buat sementara untuk menyelamatkan negara tercinta,” kata bekas perdana menteri itu menerusi blognya pada Rabu.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengatakan bahawa anggota parti kecewa dengan Dr Mahathir disebabkan ‘kesepakatannya’ bersama pembangkang.

Mengenai deklarasi berkenaan, Dr Mahathir mendakwa terdapat penyelesaian boleh diperolehi sekiranya segala saluran untuk menghentikan perbuatan yang salah dilakukan.

“Hak ahli dalam Umno, Mesyuarat Agung Umno, Majlis Tertinggi Umno sudah tidak berfungsi lagi.

“Dalam keadaan ini rakyat yang menjadi mangsa sudah lumpuh dan tidak lagi dapat bergantung kepada parti politik mereka sendiri untuk perlindungan, dan tidak pun melalui institusi kerajaan yang ditugas untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya.

Jumaat lalu, Dr Mahathir bersama Muhyiddin serta pembangkang dan pemimpin masyarakat menandatangani deklarasi yang menyokong penyingkiran Najib.

Antara mereka yang hadir ialah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Pengarah Pilihan Raya, Datuk Mustafa Ali dan bekas Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim.