Peratusan Keluar Mengundi Lebih Tinggi Berbanding PRK Terdahulu

15
0

CAMERON HIGHLANDS : Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menyaksikan peratusan keluar mengundi direkodkan lebih tinggi berbanding yang direkod dalam empat PRK sebelum ini.

Setakat jam 2 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 63 peratus pengundi sudah pun menunaikan tanggungjawab mereka dan ia dijangka meningkat menjelang penutupan rasmi pusat mengundi jam 5.30 petang ini.

Satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Pos Lemoi ditutup jam 1 petang tadi. Proses mengundi berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi.

Lima PDM lagi sudah ditutup jam 2 petang, sementara sembilan PDM lagi ditutup sejam selepas itu, majoritinya adalah PDM yang menempatkan pengundi Orang Asli.

Satu PDM iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Betau ditutup jam 3.30 petang, selebihnya jam 4 petang dan 5.30 petang. Keseluruhannya, ada 29 PDM di Parlimen Cameron Highlands.

PRK DUN Sungai Kandis yang berlangsung pada 4 Ogos tahun lalu hanya merekodkan 49.4 peratus keluar mengundi.

Pada PRK DUN Balakong pula, peratusan keluar mengundi hanya 43 peratus, diikuti DUN Seri Setia sebanyak 44 peratus.

PRK Port Dickson pula hanya merekodkan peratusan keluar mengundi 58.3 peratus biarpun SPR menetapkan sasaran 70 peratus keluar mengundi untuk semua PRK itu.

Sementara itu, peti undi pertama tiba di pusat penjumlahan rasmi undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah pada kira-kira jam 2.47 petang tadi.

Peti undi dari Pos Lemoi itu dibawa menaiki helikopter sewaan khas oleh SPR.