Peratusan Keluar Mengundi Cabaran PRK Seri Setia

12
0

PETALING JAYA: Selepas 21 hari berkempen, hari ini pengundi di Seri Setia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk memilih wakil rakyat baru mereka.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 53,492 pengundi berdaftar sebagai pemilih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

PRK ini menyaksikan calon PAS, Dr Halimah Ali mencabar calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar.

Halimey anak tempatan, pengundi Seri Setia adalah bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) manakala Halimah bekas Exco Kerajaan Selangor ketika Pakatan Rakyat (PR) memerintah di Selangor.

Halimah adalah calon PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu untuk DUN Selat Klang namun tewas kepada calon Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Datuk Abdul Rashid Asari.

Halimey dijangka mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Jalan PJS 10/11 Petaling Jaya sementara Dr Halimah bukan pengundi berdaftar di kawasan DUN itu.

Cabaran terbesar untuk pengundi Seri Setia bukannya untuk memilih calon tetapi memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Kebimbangan mengenai jumlah yang keluar mengundi ini di pengaruhi prestasi buruk pada PRK Sungai Kandis bulan lalu yang mana hanya 49.9 peratus pengundi yang keluar.

Peratusan itu adalah yang terburuk pernah dicatatkan di negara ini.

PRK Seri Setia turut mencatatkan sejarah bersama PRK Balakong menjadi pilihan raya kecil yang paling lama tempoh berkempen iaitu 21 hari selain kali pertama calon menggunakan logo PH.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Prof Dr Shaharuddin Baharuddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas menderita barah usus.