Penurunan Jualan Musim Perayaan Akibat GST, Kejatuhan Ringgit

210
0

KUALA LUMPUR: Para peruncit mengalami penurunan dalam jualan dengan lebih 40% pada musim perayaan baru-baru ini, kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) beberapa bulan selepas ia diperkenalkan ditambah pula dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata Pertubuhan Majikan Malaysia (MEF).

Pengguna mula berbelanja lebih berhemat sebaik sahaja GST berkuat kuasa pada April tahun ini dan dapat dilihat ketika membeli-belah bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali lalu, kata Pengarah Eksekutif MEF Datuk Shamsuddin Bardan.

Kos barangan nampaknya lebih tinggi kerana cukai dan kadar pertukaran yang menjejaskan semua pemain dalam sektor runcit termasuk syarikat kecil dan besar, katanya.

“Cabaran sangat tinggi bagi sektor runcit. Sektor ini sangat terpengaruh dengan prospek pasaran domestik terutamanya apabila rakyat sangat berhati-hati dengan perbelanjaan mereka, bersikap lebih memilih dengan pembelian mereka dan sudah tentu dalam situasi begini sektor peruncitan akan terjejas,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Sentimen pengguna yang lemah menyaksikan peruncit bergelut dengan penurunan sebanyak lebih 40% perbelanjaan biasa dalam tempoh 2 musim perayaan terakhir pada bulan Julai dan November.

“Lihat saja pada Hari Raya dan Deepavali, ramai pengusaha kedai dalam sektor runcit mengatakan jualan mereka amat terjejas, ada yang mengalami lebih 40%.

“Mengikut jangkaan pendapatan, sektor ini tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa menyusun semula tenaga kerja dan malangnya, apabila mereka bercakap tentang penyusunan semula, mereka bercakap tentang pembuangan kerja,” katanya.

Shamsuddin berkata, ramai peruncit bergelut walaupun MEF masih belum menerima sebarang laporan mengenai penutupan atau pemberhentian pekerja.

The Edge Financial Daily minggu lalu melaporkan firma penyelidikan runcit bebas, Retail Group Malaysia (RGM) mengurangkan unjuran jualan runcit tahun ini untuk kali kelima, mengaitkannya dengan angka lemah pada suku kedua dan ketiga tahun ini.

Firma itu berkata keputusan menyemak semula unjuran ke bawah disebabkan kelemahan ringgit beberapa bulan lalu, yang membawa kepada kos import lebih tinggi.

RGM bagaimanapun meramalkan pertumbuhan 4Q15 kepada 3.8% tahun ke tahun lebih tinggi daripada ramalan pertumbuhan Pertubuhan Peruncit Malaysia (MRA) iaitu 1.3% bagi tempoh Oktober hingga Disember 2015.

Ini kerana RGM percaya kos tinggi perjalanan luar negara akan menggalakkan perbelanjaan domestik.

MRA berkata ia tidak menjangka perniagaan akan pulih kukuh bagi tempoh dijangkakan penguncupan sebanyak 2.6% dalam jualan. – INSIDER