Pengasuh Disiasat Kes Dera Bayi

8
0

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Pengasuh wanita berusia 22 tahun ditahan polis selepas disyaki mencederakan seorang bayi lelaki hingga mengalami kecederaan di bahagian muka.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata memaklumkan mangsa dihantar ibu bapanya ke Hospital Putrajaya pada 24 Oktober lalu.

“Ketika berada di hospital, mangsa mempunyai kesan lebam di bahagian muka dan kecederaan itu berkemungkinan berlaku di rumah pengasuh.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa baru dihantar ke rumah pengasuh selama dua hari untuk dijaga suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismadi turut memaklumkan suspek telah menjalankan khidmat menjaga bayi di rumahnya di Equine Park, Serdang  selama empat bulan dan turut menjaga tiga lagi bayi berumur bawah setahun.

Bagaimanapun setakat ini tiada pengakuan daripada suspek dan siasatan menyeluruh akan dibuat termasuk mengambil keterangan ibu bapa mangsa.