Penerima Tidak Perlu Pulangkan Hibah Tabung Haji – Mujahid

10
0

PUTRAJAYA: Pendeposit Tabung Haji (TH) tidak perlu memulangkan semula hibah yang diterima walaupun status halalnya dipersoalkan orang ramai, berikutan masalah itu hanya membabitkan peringkat pengurusan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata penerima tidak mengetahui mengenai penyelewengan yang berlaku dalam pengurusan institusi kewangan Islam itu dan tindakan memulangkan semula wang (hibah) hanya akan menimbulkan kesukaran.

“Bagi yang menerima (hibah), mereka tidak tahu apa penyelewengan yang berlaku dan sudah diberikan hibah itu, jadi tidak perlu untuk membayar balik.

“Jadi itu bukan masalah orang yang menerima tetapi masalah pengurusan. Apa kita buat adalah untuk memperbaiki pengurusan itu supaya pada masa depan ia ikut cara yang betul,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Kepada Sekolah Pondok Berdaftar di sini, hari ini.

Mujahid sebelum ini mendakwa pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 hingga 2017 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Namun perkara itu disanggah oleh bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang menyifatkan perkara itu sebagai tidak tepat.

Dalam pada itu, ditanya berhubung peningkatan kes restoran bukan Islam menggunakan ayat-ayat suci al-Quran, Mujahid berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memantau semua tempat seumpama itu dan mengenakan tindakan bersesuaian berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, langkah itu akan dilakukan bersama agensi lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Memang kita ada mekanisme menanganinya iaitu laporan dari orang ramai dan kita ada penguat kuasa untuk dengar aduan. Selepas itu kita akan bertindak dengan fakta yang jelas bersama kementerian lain,” katanya.

Semalam, sebuah restoran di Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, diarah menurunkan ayat al-Quran yang digantung serta-merta berikutan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah sehingga boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.

Malah, satu bungkusan kuning turut ditemui tergantung di sebelah ayat al-Quran, yang dipercayai azimat, dalam satu pemeriksaan yang dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan KPDNHEP.

Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan, berkata pemeriksaan bersepadu jam 11 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat yang viral di media sosial mendakwa restoran berkenaan mengelirukan kerana menggantung ayat suci al-Quran walaupun tidak menganuti agama berkenaan.