Penafian Lim Kit Siang: Tersurat Dan Tersirat

489
0

Oleh: AZMAN HUSSIN

 

LIM Kit Siang, seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian 13 Oktober 2017, berkata beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara.

Katanya, PKR atau Bersatu akan mempunyai ahli parlimen terbanyak sekiranya Pakatan Harapan mampu membentuk kerajaan pada akan datang.

Beliau membuat congakan lebih-kurang begini: Sekiranya ada peningkatan 10 peratus undi Melayu dan 5 peratus bukan Melayu kepada Pakatan Harapan di Semenanjung dalam PRU14 berbanding PRU lalu, sudah tentu pakatan pembangkang akan memenangi 113 daripada 165 kerusi parlimen, manakala BN memperolehi 50 kerusi dan PAS 2 kerusi.

Daripada 113 kerusi yang diimenangi ini, kemungkinan DAP menang 32 kerusi, manakala 3 komponen lain dalam Harapan masing-masing sebanyak 39, 32 dan 10 kerusi.

Kesimpulan beliau, “oleh itu, parti politik dengan blok terbesar di semenanjung ketika itu ialah PKR atau Bersatu. Bukannya DAP.”

Beliau cuba menolak dakwaan bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Secara tersurat, apa yang dikatakan beliau itu nampak benar dan masuk akal.

Tetapi, ada persoalan lain yang cuba beliau alihkan daripada pengetahuan orang ramai. Beliau memainkan isu, iaitu bahawa beliau tidak akan menjadi Perdana Menteri, dan beliau menerangkan perkara itu secara matematik untuk membuktikannya.

Tanpa memberi kira-kira matematik pun, adalah sukar untuk beliau menjadi Perdana Menteri. Dalam minda orang ramai pun, sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih negara, masih ada calon-calon Melayu lain yang akan menjadi Perdana Menteri. Secara logik juga, takkan Dato’ Seri Anwar tidak mahu menjadi Perdana Menteri. Jadi, kemungkinan Lim Kit Siang atau calon-calon bukan Melayu lain menjadi Perdana Menteri adalah tidak munasabah pada akal buat masa ini.

Maka, Lim Kit Siang kelihatan betul dengan penafiannya ini. Secara tidak langsung, ia berjaya memberi mesej kepada orang ramai bahawa Pakatan Harapan tidak berbahaya kepada masa depan orang-orang Melayu kerana Lim Kit Siang, apatah lagi kepada calon-calon bukan Islam yang lain, tidak akan menjadi Perdana Menteri.

Benarkah begitu?

Anda silap jika anda berfikir begitu. Politik bukanlah begitu matematiknya, sebagaimana yang dikemukakan oleh Lim Kit Siang itu.

Lim Kit Siang telah berjaya meletakkan orang ramai dalam gelanggang yang beliau mahu mereka bermain, iaitu berfikir sama ada boleh atau tidak beliau menjadi Perdana Menteri, sedangkan apa yang beliau tidak mahu orang ramai fikir adalah perkara lain.

Apakah perkara tersebut?

Anda tidak perlu menjadi Perdana Menteri untuk mengawal dan menguasai sesebuah kerajaan. Adalah bodoh dan cetek akal jika anda berfikir bahawa untuk mencatur sesebuah kerajaan hanya dengan menjadi Perdana Menteri semata-mata.

Mari kita fikirkan apa yang Lim Kit Siang sembunyikan sebenarnya. Katakanlah apa yang dijangkakan Lim Kit Siang benar-benar terjadi. DAP menang 32 kerusi parlimen dan lain-lain parti pembangkang 39, 32 dan 10, iaitu membentuk 113 kerusi.

Dengan jumlah itu, pakatan pembangkang boleh membentuk kerajaan baru.

Maka dengan kemenangan tipis itu, anda sepatutnya tahu bahawa penyertaan DAP adalah perlu untuk membentuk kerajaan. Tanpa DAP, Pakatan Harapan tidak akan dapat membentuk kerajaan baru kerana jumlah kerusi tidak mencukupi. Sekalipun DAP hanya memiliki jumlah kerusi yang sedikit, jumlah kerusi DAP itu adalah amat bernilai (ironinya, hari ini DAP adalah pemegang kerusi pembangkang yang terbesar iaitu 39).

Sepatutnya anda sudah nampak realiti ini. DAP akan dapat mengawal kerajaan ini walaupun pemimpin mereka tidak menjadi Perdana Menteri.

Dalam keadaan kerajaan baru yang genting ini, DAP akan menjadi pemain politik sebenar. Mereka akan menuntut kerajaan baru melakukan apa yang mereka mahukan. Jika tidak, mereka boleh mengugut untuk keluar daripada kerajaan. Dan jika mereka keluar, kerajaan tersebut akan tumbang. DAP tidak teragak-agak akan melakukannya jika peranan mereka dalam Pakatan Harapan tidak ubah seperti MCA dalam Barisan Nasional, iaitu tidak dapat menguasai kerajaan secara dominan.

Poltikus-politikus Melayu Pakatan Harapan ini tentulah tidak mahu ia berlaku, dan anda sudah pasti dapat mengagak yang mereka akan tunduk kepada tuntutan-tuntutan DAP.

Keadaan ini akan menjadikan mereka pemegang kuasa politik negara sekalipun jumlah kerusi mereka tidaklah banyak.

Jadi, melihatkan keadaan pembangkang hari ini, tidak mustahil kerajaan baru tersebut akan menjadi kuda tunggangan DAP. Dalam erti kata yang lain, DAP yang akan menguasai kerajaan baru.

Lihat sahaja keadaan hari ini, bagaimana pemimpin-pemimpin Melayu tunduk kepada orang-orang bukan Islam kerana mahukan sokongan politik. Anda tentu sudah tahu jawapannya kenapa Dr Mahathir hari ini menjilat DAP, bagaimana Dato’ Seri Anwar berkompromi dengan isu kalimah Allah, dan bagaimana pemimpin-pemimpin PAS keluar dan menubuhkan parti baru, Amanah.

Mereka ini telah berjaya ditunggang oleh pemimpin-pemimpin DAP kerana cita-cita politik masing-masing.

Kerana itu juga pemimpin-pemimpin Melayu pembangkang bertoleransi kepada idea-idea sekular, liberal, plural dan LGBT yang kuat dibela oleh pemimpin-pemimpin DAP.

Keadaan ini berlaku ketika pembangkang masih lagi pembangkang, dan anda boleh bayangkan sendiri bagaimana mereka akan menguruskan negara ini jika mereka benar-benar memerintah.

Ini adalah apa yang Lim Kit Siang tidak ceritakan dan tidak mahu anda semua tahu.

Sekarang ini Lim Kit Siang berjaya menutup keadaan ini daripada difikirkan oleh orang-orang Melayu. Beliau berjaya mengalihkan persoalan ini dengan menyatakan secara logik dan matematik bahawa beliau tidak mungkin menjadi Perdana Menteri. Dalam konteks ini, beliau berjaya mengelabui fikiran orang ramai, sedangkan persoalan siapa menjadi Perdana Menteri tidaklah begitu penting berbanding siapa yang menguasai kerajaan.

Orang-orang Melayu yang terpedaya dengan kelicikan politik Lim Kit Siang ini akan terus leka menyatakan tidak mungkin Lim Kit Siang, atau orang bukan Islam lain, menjadi Perdana Menteri. Anda akan mengulang-ngulang apa yang Lim Kit Siang beritahu tadi. Anda akan menolong propaganda DAP dengan mempersoalkan bagaimana DAP boleh berkuasa jika kerusi yang ditandingi oleh mereka adalah sedikit.

Hakikatnya, apa yang sebenarnya dikatakan oleh Lim Kit Siang itu adalah seperti seorang penebang kayu yang berkata: “saya tidak boleh memotong pokok (menjadi Perdana Menteri) kerana mata kapak saya tidak mempunyai ulu (tidak memiliki kerusi parlimen yang banyak).”

Kini, anda orang-orang Melayu, telah sanggup menjadi ulu kepada mata kapak tersebut (dengan mengundi Pakatan Harapan).

Inilah juga keadaan sebenar masa depan orang-orang Melayu yang boleh disamakan dengan cerita jenaka Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai.