Pemuda UMNO Bantah Kenaikan Harga Barang Dan Tol

244
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO hari ini menolak kenaikkan harga barang yang membebankan rakyat sekaligus meningkatkan kos kehidupan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya tidak boleh ‘membisu’ dalam isu ini kerana rakyat semakin hari semakin terhimpit.

“Awal tadi saya menyebut, jangan kata Pemuda populis. Kalau populis, kita akan suruh hapuskan GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan batalkan semua kenaikan ini. Namun Pemuda bertanggungjawab. Kita memahami keperluan itu semua.

“Namun pada masa sama, apabila rakyat semakin terhimpit dengan segala kenaikan ini, kita tidak boleh diam membisu saja.

“Kami tidak minta dimansuhkan itu dan ini, tetapi Pemuda ingin memberitahu kepimpinan parti dan kerajaan, cukuplah! Hentikan semua kenaikan ini. Jangan ada kenaikan lagi,” katanya dalam ucapan dasar Ketua Pemuda sempena perhimpunan sayap itu pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di hari ini.

Khairy juga berkata, segala kenaikan itu harus dihentikan kerana ia ibarat ‘mencurah minyak ke dalam api’ terhadap kemarahan rakyat.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya, ketua Pemuda (beliau sendiri) ahli jemaah menteri. Tidakkah beliau bersuara dalam Kabinet? Ingin saya tegaskan di sini pendirian saya sama di dalam dan di luar Kabinet.

“Bila ada pembentangan yang menambahkan beban, saya sentiasa bersuara untuk cuba elakkan kesengsaraan terhadap rakyat.

“Sebagai contoh, tol lebuh raya. Terpaksa dinaikkan kalau tidak kerajaan kena bayar pampasan RM500 juta. Saya selaku ketua Pemuda mengingatkan Kabinet tentang akujanji BN. Kalau terpaksa naikkan tol, jangan sampai tol antara bandar seperti Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur dinaikkan. Itu janji kita.

“Dan pada hari ini saya ingin tegaskan, Pemuda bantah apa jua kenaikan tol selepas ini baik untuk  lebuh raya antara bandar, mahupun mana-mana lebuh raya sekalipun,” katanya.