Pemimpin Bukan Untuk Jawatan, Sebaliknya Tanggungjawab – Rafidah Aziz

32
0

KUALA LUMPUR: Pemimpin di negara ini harus sedar bahawa menjadi pemimpin bukan hanya memegang jawatan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab yang harus digalas dengan sempurna.

Itu tegas bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang menasihati para pemimpin di negara ini tidak kira parti.

Tambahnya, setiap perjuangan pemimpin itu tidak harus bermatlamatkan wang semata-mata.

“Kalau timbul unsur politik wang dan segala bergantung kepada wang, sampai ada yang kata ini pemberian dan anugerah Allah, itu adalah satu penyelewengan.

“Menjadi pemimpin itu bukan jawatan tapi menjadi pemimpin itu tanggungjawab yang besar. Ditambah lagi jika pemimpin itu seorang Islam yang bersumpah atas nama Allah SWT.

“Jadi bermakna kepimpinan tidak lagi berasaskan kepada nak memimpin ke arah yg lebih baik sebaliknya entah apa agenda masing-masing,” katanya.