Pembaharuan Institusional Jangan Beragenda

50
0

Oleh: S.M. Zakir

Apabila Inggeris masuk memerintah Kelantan selepas Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, apa yang dilakukan oleh Inggeris ialah pembaharuan institusional (institutional reform). Sistem pentadbiran moden diperkenalkan termasuk sistem kewangan dan percukaian. Inggeris menguasai negeri secara de facto melalui kuasausahanya yang bertindak sebagai penasihat Sultan. Sementara institusi kesultanan Melayu termasuk institusi pembesarnya terus dikekalkan dan berkuasa secara de jure.

Inggeris menubuhkan institusi Penasihat Inggeris yang pada lahirnya untuk menasihati Sultan dalam kesemua perkara kecuali soal agama dan adat istiadat Melayu. Namun realitinya sama ada Sultan setuju atau tidak dengan nasihat Inggeris, Sultan dan para pembesarnya mesti tetap melaksanakan nasihat atau keputusan pihak Inggeris tersebut (hal ini sama dengan sistem politik Malaysia sekarang). Walau bagaimanapun Inggeris tetap tidak campurtangan sama sekali dalam soal agama Islam dan adat istiadat Melayu, kerana ia persoalan yang sensitif.

Inggeris mengambil langkah bijak tidak mengganggu institusi agama Islam dan adat istiadat Melayu. Hal ini membuatkan pemerintahan Inggeris tidak mendapat tentangan rakyat kecuali penentangan oleh Engku Besar Jeram dan panglimanya Tuk Janggut. Itupun lebih disebabkan hak mengutip cukai Engku Besar dilucutkan, dan ia hanya melibatkan penentangan oleh pengikut Engku Besar tanpa melibatkan keseluruhan rakyat Kelantan.

Inggeris kemudiannya menyokong dan mengiktiraf penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan meletakkan sepenuhnya di bawah pentadbiran pembesar negeri dan Sultan. Inggeris dengan senang hati mengiktiraf MAIK dengan kuasa dan skop yang menyentuh persoalan zakat fitrah, Baitul mal, harta wakaf, sekolah agama dan juga soal perundangan Syariah berkaitan munakahat.

MAIK dalam penubuhannya atas pengiktirafan Inggeris ini telah menubuhkan sekolah-
sekolah agamanya yang tersendiri yang berdiri sehingga tahun 1976. Antara sekolah MAIK yang terkenal ialah Maahad al-Muhammadi. Apa yang berlaku di Kelantan juga berlaku di negeri-negeri Melayu yang lain, menyaksikan kuasa kolonial Inggeris melakukan pembaharuan institusional tanpa mengusik institusi agama Islam dan adat istiadat Melayu.

Apabila Inggeris menyerahkan kuasanya kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, institusi Kesultanan dan institusi agama Islam serta adat istiadat Melayu kekal dalam ruang litup kekuasaan de jurenya. Kuasa de facto Kerajaan Persekutuan berkuasa atas kesemua perkara tetapi ruang litup institusi agama Islam adalah tetap di bawah kuasa institusi raja-raja. Pengambilalihan kuasa institusi agama Islam oleh Kerajaan Persekutuan tentunya tidak mencabut kuasa institusi raja-raja terhadapnya secara keseluruhan.

Kemenangan Pakatan Harapan mengalahkan Barisan Nasional, sekaligus mendirikan
kerajaan baru telah mengambil langkah melaksanakan pembaharuan institusional. Perkara paling baik dilakukan oleh kerajaan baru ini ini ialah membersihkan negara daripada cengkaman rasuah termasuk usaha untuk mencabut sehingga ke akarnya ‘ibu’ segala rasuah iaitu skandal IMDB. Pembaharuan juga dilakukan terhadap segala bentuk institusi dan amalan yang membazir wang rakyat.

Namun dalam keghairahan melakukan pembaharuan institusional itu, ia mula melangkaui garisan sensitiviti yang tidak pernah berani dilangkah oleh kuasa Inggeris yang lebih berkuasa dulu pun. Kedengaran suara sumbang untuk memansuhkan JAKIM, dan mula menerjah kepada persoalan institusi agama yang lain serta adat istiadat Melayu. Lebih buruk lagi kelancangan dan keceluparan awam mengkritik Yang Dipertuan Agong sekaligus institusi Raja-raja.

Perkara pertama yang dilihat di sini ialah kejahilan awam terutamanya generasi media sosial terhadap sejarah politik kemerdekaan dan ruang lingkup sistem politik demokrasi Raja Berperlembagaan di Malaysia. Perkara kedua ialah keghairahan kaum kosmopolitan untuk membangunkan demokrasi dalam acuan sekular-liberal dengan amat cepat dan gopoh tanpa memperkirakan implikasi sosial dan budaya yang belum tentu semua menerimanya. Perkara ketiga kelihatan secara samar perasaan benci dan dendam sekian lama yang tertanam dalam arus bawah sedar pihak tertentu terhadap institusi Melayu dan Islam.

Pembaharuan institusi walau sebagaimana ghairah pun ingin dilakukan haruslah dilakukan dengan berhati-hati terutamanya soal yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat Melayu. Apa yang dilakukan oleh Inggeris dahulu ada baiknya diteliti, malah dicontohi memandangkan Inggeris menghadapi atau melihat pengalaman yang perit kuasa kolonial lain apabila mereka mencampuri soal agama Islam dan adat budaya masyarakat peribumi. Dalam hal ini Kerajaan Persekutuan, termasuk golongan ‘jahiliyah moden’ (kaum Melayu) yang memusuhi agama dan bangsanya sendiri wajib memahami tentang kuasa de jure Majlis Raja-raja terhadap institusi agama Islam dan adat istiadat Melayu, yang mempunyai kesannya yang
tersendiri terhadap kestabilan negara.

Pembaharuan institusional lebih merupakan peralihan ukuran keadilan terhadap rakyat awam yang selama ini menjadi mangsa ketidakadilan serta hilang kepercayaan antara satu sama lain. Ia berusaha untuk membangunkan kembali keadilan buat rakyat dan membina kembali kepercayaan antara satu sama lain melalui institusi awam yang bukan sahaja telus tetapi bijak menjaga hubungan yang sensitif seperti agama dan kaum. Ukuran keadilan bukan sahaja melihat kepada tuntutan pihak yang lantang bersuara dan berpengaruh, tetapi juga majoriti senyap yang tidak bersuara dan tidak berpengaruh.

Antara saranan yang sering diberikan oleh para pakar dan pemikir dalam melaksanakan pembaharuan institusional ialah melihat kepada atau fokus kepada permasalahan sebenar. Dalam hal ini ia melihat kepada penyelarasan apa yang dilakukan oleh agen pembaharuan agar tidak bertentangan atau bersimpangan dengan proses perubahan. Pertanyaan penting yang harus dijawab ialah ‘apakah sebenarnya yang menjadi masalah’ dan ‘siapa yang lebih perlu diberi perhatian’ serta ‘bagaimana kita dapat mendekati mereka yang perlu lebih diberikan perhatian’. Apa yang paling jelas di sini ialah pergerakan sains politik sangat ditentukan oleh pergerakan sains sosial. Ia sangat melibatkan proses komunikatif yang crucial.

Kerajaan hari ini selain meneruskan usaha menghukum pesalah rasuah yang menghancurkan negara, dan melakukan pembaharuan institusional yang crucial, juga perlu pantas dan teliti dalam menapis tuntutan-tuntutan golongan kecil yang kelihatannya berpengaruh tetapi tidak berguna dalam menyelesaikan masalah sebenar rakyat awam. Masalah sebenar ialah kos sara hidup yang tinggi serta yuran pendidikan tinggi yang tiada pembiayaan biasiswa, tetapi masa dibuang untuk menutup JAKIM dan ‘berperang’ dengan masyarakat Islam serta adat istiadat

Melayu. Ini adalah contoh kegagalan pembaharuan institusional yang rutin dalam sejarah dunia moden. Soal-soal berkaitan dengan intitusi agama Islam dan adat istiadat Melayu termasuk institusi Majlis Raja-raja Melayu bukanlah masalah sebenar dan crucial yang memerlukan pembaharuan institusional. Masalah sebenar ialah ekonomi dan bagaimana memulihkannya, termasuk mendapatkan balik wang yang dirompak oleh para perasuah negara.

Mendedah dan menularkan perbelanjaan raja-raja dan istana, serta kelemahan kecil JAKIM adalah sebahagian ‘kebodohan’ yang akan mengalih tumpuan sebenar dan utama pembaharuan institusional yang sangat crucial perlu dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan – iaitu reformasi ekonomi yang mampu memulihkan kehidupan rakyat yang sengsara oleh kenaikan kos sara hidup, perumahan dan pendidikan.