Pemandu Teksi Protes Uber & GrabCar Punca Kesesakan Trafik Di Bukit Bintang

99
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Kesesakan trafik di sekitar Kuala Lumpur bertambah buruk pada pagi ini berikutan pelancaran protes oleh sekumpulan pemandu teksi di Bukit Bintang.

Difahamkan, mogok itu dilancarkan berhampiran sebuah pusat membeli belah di Bukit Bintang bagi membantah perkhidmatan GrabCar dan Uber.

Pemandu teksi dikatakan telah menutup laluan secara senjaga dengan memberhentikan kenderaan mereka sepanjang jalan Bukit Bintang sebagai tanda protes.

Protes ini dilancarkan berikutan kegagalan SPAD mengambil tindakan terhadap perkhidmatan Uber dan GrabCar yang didakwa telah menjejaskan pendapatan mereka.

Perhimpunan itu telah menyebabkan kesesakan yang buruk di sekitar jalan Bukit Bintang pada kira-kira jam 10.30 pagi ini.

Susulan itu, rata-rata netizen berkongsi rakaman gambar protes itu serta situasi sekitar jalan itu di media sosial.

Ada juga yang mengadu mengenai kesesakan trafik di media sosial.

Malah, netizen menyifatkan protes ini sebagai satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Mogok itu kemudian disuraikan atas arahan pihak polis yang tiba di lokasi kejadian, kira-kira jam 12 tengahari.

Menurut beberapa media tempatan, seramai lima lelaki ditahan kerana dipercayai menghalang anggota polis menjalankan tugas ketika menyuraikan sekumpulan pemandu teksi itu.