Pemandu Rempuh Pelanggan Di Restoran Berjaya Diberkas

18
0

SERI KEMBANGAN: Pemandu kenderaan pacuan empat roda (4×4) yang dipercayai melanggar lima orang awam di sebuah restoran di Taman Equine di sini malam tadi, diberkas polis.

Suspek yang melarikan diri selepas kejadian ditahan jam 1.43 pagi tadi.

Kenderaan digunakan suspek turut ditemui di Taman Universiti Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, saringan awal ujian air kencing bagaimanapun negatif.

Menurutnya, darah suspek sudah diambil untuk ujian alkohol dan reman  akan dilakukan pagi ini  di Mahkamah Petaling Jaya pada jam 10 pagi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita dilapor maut manakala empat lagi cedera parah apabila kenderaan itu  terbabas dan melanggar  mangsa yang menikmati makanan di tepi jalan di depan sebuah restoran di sini.

Siasatan awal  mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan datang dari Jalan 9C membelok ke Jalan 9B sebelum merempuh kesemua mangsa.

Kemalangan turut melibatkan tiga buah kenderaan milik pengunjung termasuk sebuah SUV jenis Lexus yang mengalami kerosakan hampir 30 peratus dan Perodua Myvi serta Perodua Bezza yang mengalami kerosakan hampir 10 peratus.

Wanita yang maut dikenali sebagai Wong Sow Lin, 57 tahun.

Manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai  Wong Mei Hwa, 36; Lei Kok Lu,  71;Leong Eng How, 35 dan warga Myanmar, Vial Sian Mung, 33.