Peguam Najib Buat Aduan Pertukaran Hakim

19
0

KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib Razak mengemukakan surat aduan kepada Hakim Besar Malaya berhubung pertukaran hakim yang mengendalikan kes pecah amanah, menyalahgunakan jawatan dan pengubahan wang haram dihadapi anak guamnya.

Surat yang ditandatangani peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada firma guaman Tetuan Shafee & Co itu diserahkan kepada Tan Sri Zaharah Ibrahim, hari ini melalui serahan tangan.

Muhammad Shafee yang mewakili Najib berkata, aduan pihaknya bukan ditujukan kepada hakim yang mengendalikan kes itu, sebaliknya sistem kehakiman yang seharusnya adil kepada semua pihak.

Melalui kandungan surat itu, Muhammad Shafee berkata pihaknya dimaklumkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Sofian Abd Razak yang mendengar kes berkenaan ditukarkan ke mahkamah sivil, dan digantikan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah tehadap mana-mana hakim yang mendengar kes itu, dan Mohd Nazlan juga adalah seorang hakim yang berkelayakan.

Bagaimanapun, katanya, peguam bela dan anak guam bimbang dengan proses pertukaran hakim kes terbabit, apatah lagi di tengah kontroversi bahawa terdapat bahaya berat sebelah dalam mengendalikan kes berkenaan kerana abang Mohd Sofian adalah Ketua UMNO Benta.

“Terdapat dakwaan bahawa Mohd Sofian akan bertindak berat sebelah, di mana kami percaya ia tidak mempunyai sebarang justifikasi dan tidak berasas.

“Beberapa pihak juga menggesa supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes itu yang dibuat tanpa asas undang-undang dan pertimbangan yang relevan.

“Ironinya, tiada mana-mana pihak dalam kes ini yang memohon supaya Mohd Sofian menarik diri,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, melihat kepada kes berprofil tinggi itu pihaknya bimbang bahawa Mohd Sofian dipindahkan tanpa diberi peluang untuk memutuskan mengenai kedudukannya dalam mengendalikan kes terbabit melalui proses yang telus.

Katanya, Mohd Nazlan juga diletakkan dalam keadaan kurang selesa kerana mungkin dilihat sebagai “hakim dengan misi” (walaupun kami yakin bahawa ia bukannya seperti itu).