PDRM Masih Buru Jho Low – KPN

16
0

PELABUHAN KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih lagi memburu ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

“Siasatan terhadapnya berjalan macam biasa,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan usaha memburu Jho Low.

Blog Sarawak Report sebelum ini melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan satu laporan berita berhubung penahanan Jho Low di China. Bagaimanapun, laporan itu tidak mendapat pengesahan daripada mana-mana pihak mengenai penahan berkenaan.

Pasport Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun lepas atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1MDB.

Terdahulu, Mohamad Fuzi mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat kapal layar mewah penuh kontroversi, Equanimity, yang berlabuh di Terminal Boustead Cruise Centre di sini.

Kapal layar mewah itu, dipercayai mempunyai hubung kait dengan Jho Low dan skandal 1MDB, tiba di Malaysia pada 7 Ogos selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.