PAS Tuntut Waythamoorthy Undur

146
0

KUALA LUMPUR: PAS menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan) P Waythamoorthy meletakkan jawatan serta-merta susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim semalam.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mendakwa Waythamoorthy bukan sahaja gagal mengawal rusuhan di kuil di Subang Jaya bulan lalu, malah didakwa “menambahparahkan” keadaan.

“Beliau (Waythamoorthy) bersikap tidak profesional serta berbohong dengan menyalahkan pihak berkuasa terutama polis yang dikatakan gagal mengawal keadaan pada masa material tersebut.

“Apatah lagi segala fakta yang diberikan oleh beliau tentang tindakan pihak polis bercanggah dengan keterangan fakta yang diberikan oleh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin semasa menjelaskan tentang tragedi ini di Dewan Rakyat pada 29 November,” kata kenyataan itu.

Muhammad Adib merupakan salah seorang anggota bomba yang ditugaskan untuk memadamkan kebakaran di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, USJ25, Subang Jaya, pada 27 November.

Dalam kejadian tersebut, menurut polis, Muhammad Adib ditarik keluar daripada kenderaan yang dinaikinya dan dipukul oleh beberapa orang perusuh sehingga mengalami kecederaan parah.

Sementara itu, Takiyuddin berkata Waythamoorthy boleh digantikan dengan pemimpin lain daripada kaum India yang lebih berwibawa.

Pada 26 November, Waythamoorthy bersama empat menteri dan seorang timbalan menteri lain, mengadakan satu sidang media bagi menyampaikan teguran terhadap cara pihak polis menangani rusuhan di kuil tersebut pada awal pagi hari yang sama.

Teguran itu antaranya mengandungi dakwaan polis tiba lewat di lokasi kejadian, yang telah dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak lama kemudian.

Hal itu menyebabkan Waythamoorthy menerima kritikan hebat daripada warga maya atas tuduhannya yang mengelirukan dan dilihat menjejaskan imej pihak polis. – MK