PAS-PKR: UMNO Susun Strategi Baharu – Zahid

48
1

PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menyusun strategi baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan senario politik yang berubah selepas PAS dan PKR tidak lagi bekerjasama, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO dan BN harus menstruktur semula organisasi jentera dalam menghadapi situasi baharu itu.

“Kita menghormati keputusan dibuat oleh PAS dan UMNO, BN merasakan ini satu perkembangan senario politik yang baharu yang pada hemat saya jelas memperlihatkan PAS mahu terus menjadi parti yang mempunyai identiti tersendiri dan yakin boleh berdiri sendiri untuk menghadapi PRU.

“Situasi ini tentunya akan diperhati dan dianalisa oleh UMNO dan BN dan tentunya memberi cabaran baharu dalam PRU nanti, bagaimanapun realiti politik harus kita serap dan melihat kaedah terbaik menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah Pertubuhan Antarabangsa mengenai Migrasi (IOM), William Lacy Swing di pejabatnya di sini.

Ahmad Zahid berkata, situasi baharu antara PAS dan PKR itu juga bakal menyaksikan lebih banyak pertandingan tiga penjuru dihadapi BN di kebanyakan kawasan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

“Cabaran tiga penjuru adalah berbeza (berbanding satu lawan satu) dan tentunya kita harus memikirkan dalam jangka sederhana dan panjang bahawa ini adalah cabaran yang harus kita hadapi.

“Biarpun lebih ramai lebih meriah, kita harus melihat kepada tahap kedua dan ketiga strategi yang harus disusun bagi menghadapi strategi mereka (pembangkang),” katanya.

Kerjasama politik atau tahaluf siyasi PAS bersama PKR terbatal serta-merta, berkuat kuasa semalam.