PAS Juga Rakyat, Boleh Minta Bubar Parlimen – Iskandar Samad

261
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Reaksi pemimpin BN terhadap tuntutan pembubaran parlimen oleh PAS menunjukkan mereka tidak berpijak di bumi nyata, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Naib presiden PAS itu menolak alasan bahawa PAS tidak mewakili rakyat.

“Pemimpin PAS adalah rakyat, ahli-ahli PAS adalah rakyat dan wakil-wakil rakyat PAS sudah tentu mewakili rakyat,” katanya.

Anggota parlimen BN semalam rata-rata menepis gesaan PAS berhubung pembubaran parlimen dan menegaskan perkara itu perlu disuarakan rakyat sendiri.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan dilapor berkata, gesaan itu menunjukkan PAS hari ini sedang terdesak.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia sekarang bukan kucar-kacir hingga memerlukan parlimen dibubarkan.

Anggota parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim dilapor turut senada dan menasihatkan semua pihak menanti ketibaan pilihan raya umum.

Ketika Pakatan Harapan dan kem Tun Dr Mahathir Mohamad mendesak pengunduran Najib, PAS memilih berkempen ke arah pembubaran parlimen untuk menyelesaikan segala kemelut dalam negara.

Dalam kenyataan hari ini, Iskandar berkata, kenyataan itu menunjukkan sikap pemimpin BN yang merasakan mereka terlalu besar sehingga tidak boleh ditegur.

Katanya, ketika rakyat menyatakan kemarahan dan rasa tidak puas hati, pemimpin BN memekakkan telinga mereka dan membutakan mata seolah-olah tiada apa yang berlaku.

“Oleh itu tuntutan agar parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan adalah paling wajar.

“Imej negara perlu dibersihkan dan rakyat perlu diselamatkan dengan segera,” katanya.