PAS Buat Laporan Polis Terhadap Mujahid

102
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang dan penyokong bukan Islamnya menuntut Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mujahid Yusuf Rawa menarik balik kenyataan yang didakwa mengaitkan mereka dengan pengganas Negara Islam (IS) dan Al-Maunah.

Ketua penerangan PAS negeri Iszuree Ibrahim kenyataan itu berniat jahat kerana PAS terlibat mempromosikan demokrasi dan keamanan sejak ditubuhkan pada tahun 60-an.

Beliau menegaskan parti itu menolak aktiviti sedemikian.

Malah, katanya, ketika serangan pengganas di Paris, presiden mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tampil ke kedutaan Perancis di ibu negara bagi menyatakan rasa simpati.

Iszuree berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Mujahid.

Iszuree menyifatkan pemimpin AMANAH seperti Mujahid sudah muflis idea dan pilih mengkritik PAS kerana gagal mendapat sokongan awam.

Mujahid bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan sebegitu seperti disebarkan.

“Mereka putat belit kenyataan saya dan hasilnya saya terima banyak kritikan.

“Mereka patut berhenti putar belit dan baca kenyataan sebenar saya yang disiar dalam beberapa portal berita,” katanya.

Mujahid antara pemimpin kanan PAS yang keluar beramai-ramai daripada parti itu dengan menubuhkan AMANAH sebagai sebuah parti Islam baru.

Langkah itu diambil setelah mereka ditolak beramai-ramai oleh golongan proulama dalam pemilihan PAS Jun lalu.

AMANAH mengambil pendekatan bergabung bersama pembangkang lain manakala PAS pula memilih haluan baru dengan bersendirian. – MK