Paris Tarik Balik Gelaran Kehormat Suu Kyi

5
0

PARIS: Ibu kota Perancis menarik balik gelaran kehormat berkaitan kebebasan yang diberikan kepada pemimpin umum Myanmar, Aung San Suu Kyi, berhubung kegagalan beliau bersuara membantah kekerasan dilakukan ke atas penduduk Islam Rohingya.

Jurucakap Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, berkata beliau memutuskan perkara itu kerana ‘pelbagai pelanggaran hak asasi manusia direkodkan di Myanmar dan keganasan dan penganiayaan dilakukan ke atas minoriti Rohingya.

Langkah berkenaan, yang menyusul keputusan serupa dilakukan Glasgow, Edinburgh dan Oxford, menjadikan ketua umum Myanmar itu sebagai individu pertama hilang gelaran itu daripada bandar raya itu.

Keputusan itu akan dimuktamadkan majlis bandar raya pada mesyuarat pertengahan Disember ini, kata jurucakap.

Suu Kyi, pernah dianggap ikon demokrasi kerana mengetuai penentangan terhadap pemerintahan junta di Myanmar, tetapi hilang kepercayaan di Barat berhubung kegagalannya menangani keganasan ke atas penduduk Islam Rohingya.

Lebih 700,000 etnik Rohingya melarikan diri daripada keganasan di Myanmar tahun lalu, kebanyakannya menuju ke negara jiran, Bangladesh.